KUALA LUMPUR: Seramai 86 penerima telah mendapat manfaat daripada pemindahan simpanan persaraan berjumlah RM46.3 juta, susulan kelulusan 63 permohonan di bawah inisiatif i-Legasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menjelaskan bahawa menerusi inisiatif sejak 1 Februari lepas, ahli KWSP berumur 55 tahun ke atas dengan simpanan melebihi RM650,000 atau Tahap Simpanan Mencukupi, kini dibenarkan memindahkan sebahagian dana persaraan mereka ke akaun ahli keluarga terdekat yang layak.
“Usaha yang dilaksanakan KWSP ini secara langsung telah membantu meningkatkan tahap simpanan ahli dengan ukuran kecukupan simpanan dinilai berdasarkan pencapaian Simpanan Asas mengikut umur yang ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang bertanyakan langkah dan strategi kerajaan bagi memastikan rakyat mempunyai simpanan dan pendapatan persaraan mencukupi khususnya simpanan dalam kalangan ahli KWSP bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan peralihan Malaysia ke arah negara menua menjelang 2030.
Liew menyatakan bahawa sekitar 3.04 juta ahli aktif KWSP warganegara Malaysia berusia 18 hingga 60 tahun, telah memenuhi kriteria Simpanan Asas setakat 31 Mei lalu. Jumlah ini mewakili 38.3 peratus daripada 7.94 juta keseluruhan ahli dalam kelompok usia tersebut, dengan sasaran simpanan RM390,000 pada usia 60 tahun.
Beliau berkata ia adalah peningkatan memberangsangkan berbanding 35 peratus atau 2.71 juta ahli pada 31 Mei 2025.
Menurut Liew, kerajaan dan KWSP akan terus memperkukuh kerjasama dalam merangka dasar serta mekanisme kewangan yang holistik, termasuk penambahbaikan insentif caruman dan perlindungan sosial, bagi meningkatkan kecukupan simpanan persaraan serta menjamin kesejahteraan kewangan ahli KWSP pada masa hadapan.-Bernama


