MUKAH: Sebanyak 10 ekor lembu korban disumbangkan oleh ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.
Menurutnya, sumbangan tersebut melibatkan enam kumpulan merangkumi 20 kampung di kawasan berkenaan.
“Pelaksanaan ibadah korban ini adalah untuk menunaikan tuntutan agama sempena Hari Raya Aidiladha dan amalan sunnah Nabi Ibrahim.

“Ia memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama dan budaya gotong-royong dalam kalangan masyarakat di kawasan DUN Balingian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Lembu Korban di Pusat Khidmat N58 Balingian, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, semangat gotong-royong menjadi kekuatan utama dalam memastikan program kemasyarakatan berjalan dengan lancar.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengimarahkan masjid dan surau di kawasan tersebut sebagai pusat aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.



“Diharapkan agar setiap kumpulan yang menerima sumbangan tersebut dapat melaksanakan amanah pengagihan secara adil dan saksama kepada penduduk kampung.
“Kita mahu semua penerima memperoleh manfaat secara sama rata dan dapat bersama-sama merasai keberkatan Aidiladha,” tambahnya.



