KUCHING: Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) bukan sekadar festival filem, tetapi simbol perpaduan ASEAN serta penghargaan terhadap bakat penggiat seni yang membentuk landskap kreatif rantau ini.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perpaduan ASEAN jelas terserlah apabila 11 negara hadir ke Sarawak, menjadikan festival itu platform utama pertukaran budaya dan kreativiti serantau.
“Sepanjang penganjurannya, AIFFA telah berkembang menjadi lebih daripada sekadar festival filem.
“Ia merupakan simbol perpaduan ASEAN, satu perayaan imaginasi dan penghormatan kepada industri yang menghiburkan jutaan orang serta menyumbang kepada ekonomi bernilai trilion — yang dikuasakan oleh bakat berdedikasi dan visionari,” katanya ketika berucap pada Malam Gala AIFFA di sebuah hotel di sini.
Ujarnya lagi, ASEAN merupakan rumah kepada lebih 700 juta penduduk, menjadikan rantau ini sebagai audiens yang luas dan dinamik.
“Potensi kreatif yang besar membuka peluang untuk pembikin filem bekerjasama dan berkongsi cerita serantau ke peringkat global.
“Bersama-sama, rantau kita mempunyai potensi tidak terhad untuk pembikin filem bekerjasama, menceritakan kisah kita dan membawa jiwa Asia Tenggara ke seluruh dunia,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam usaha menyokong agenda kreatif negeri, kerajaan Sarawak bakal membuka Pusat Seni Persembahan baharu untuk memupuk bakat tempatan dan memacu masa depan kreatif Sarawak.
“Melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, kita terus melabur dalam latihan, pendidikan dan infrastruktur.
Tidak lama lagi, kita akan membuka Pusat Seni Persembahan sendiri.
“Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha mendahului dalam hal yang penting, progresif di mana ia diperlukan, dan teguh membina masa depan supaya generasi akan datang dapat mempunyai impian yang lebih besar.”
Abang Johari turut mengimbau sejarah AIFFA yang bermula pada 2013 ketika idea festival itu terinspirasi daripada lawatan Sarawak ke Bandar Filem Ramoji, India, untuk mempelajari pengalaman Bollywood dalam mengembangkan industri filem serta festival antarabangsa.
Idea tersebut dibawa pulang, disesuaikan dengan konteks ASEAN dan mendapat sokongan ASEAN Tourism Ministers, menjadikan Kuching sebagai tuan rumah AIFFA yang kini memasuki edisi ketujuh.
Abang Johari turut mengiktiraf kehadiran dua tokoh antarabangsa pada acara tersebut — pelakon Hong Kong, Simon Yam, dan pengarah dari Filipina, Lav Diaz — dengan berkata bahawa kehadiran mereka menegaskan dunia filem tidak mengenal sempadan.



