KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Ajai berkata penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penciptaan lagu tidak seharusnya menggantikan kreativiti manusia, sebaliknya hanya digunakan sebagai alat sokongan.
Beliau berkata karya yang dihasilkan sepenuhnya oleh AI masih boleh dikenal pasti menerusi susunan muzik dan bunyi digital, selain menjelaskan teknologi itu menggunakan data daripada karya manusia yang telah dirakam sebelum ini.
Ajai turut berkata penggunaan AI dan autotune tidak menjadi kesalahan jika sekadar memperkemas hasil karya atau vokal, namun penggunaannya perlu dikawal agar tidak menjejaskan keaslian serta kemampuan sebenar penyanyi.
Menurut beliau, penggunaan AI juga menimbulkan cabaran berkaitan hak cipta kerana teknologi itu bergantung kepada pangkalan data karya sedia ada, sekali gus mencetuskan tindakan undang-undang terhadap beberapa platform AI di luar negara seperti dilapor Bernama.
Dalam pada itu, Ajai menyifatkan pengenalan kategori Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) sebagai langkah tepat selaras dengan perkembangan industri muzik tempatan yang semakin pelbagai dan inklusif.





