
ADIE ABD GANI nama pena Adisuwandi Abd Gani yang lahir pada Mei 1988 di Tanjung Manis, Sarikei, Sarawak. Anak sulung daripada dua adik-beradik ini sangat meminati bidang sastera sejak sekolah menengah. Adisuwandi menulis karya secara serius terutamanya sajak moden dan cerpen sejak berusia 30 tahun.
Beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains dan Pengurusan Sumber Tumbuhan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Beberapa karyanya sudah disiarkan di akhbar dan majalah tempatan seperti Suara Sarawak, Mingguan Malaysia, Wadah Bahasa dan Sastera (Utusan Sarawak), Majalah Tunas Cipta, Tukang Puisi, SelangorKini dan juga laman sastera luar negara seperti RiauSastra dan Akhbar Media Permata. Sajak bahasa Inggeris beliau bertajuk Beneath the Dark, in the Earth’s Hold dimuatkan dalam WORVID International Magazine (3rd Issue) untuk tahun 2023.
Adisuwandi turut meminati genre certot, pantun dan gurindam. Antologi terkini beliau Balan-Balan (Meminta Uri), projek seram di bawah Narangkai Publications dan Antologi Secawan Kopi Edisi 12 yang dikendalikan Abuyon Studio.
Sajak beliau juga memenangi sagu hati sayembara anjuran Majalah KayuApi Singapura bertemakan “Sastera Hijau” dan «Paradoks» pada 2024.
PERIHAL NASIHAT
persis sambal belacan ibu,
sengsara kausuap bersama
secita lauk dan
nasi panas –
adalah satu kepuasan
kunyahtelan menafsu
hingga selera menambah
kenyang
betapa dilupa nikmat
pada pedas kauhadam,
melicinkan sepinggan musibah
IKHLAS
sekalipun, mekarmu
tak berwarna,
kututupkan mata
untuk tidak melihat
sekalipun, durimu
tajam menyiat
kutahankan pedih
tika memeluk erat
pada setiap layu
dan tandusmu,
aku sereda bakau
utuh mengakar setia
walau direndang binasa
AJAR DARI TIUP
curiga bukan gas-gas
yang menepu dalam
jasad belon
nan dinyawakan anginnafas
helium atau oksigen,
tetap membujurkan kenyang
tanpa ragu dan duga
hanya di jemari kegirangan
atau tangan kelalaian
ia belajar sehembus reda –
samaada ghaib di atmosfera
atau meletup dek runcing
menyambut setia



