ARTIKEL

NAIB JUARA… Pendandan kucing profesional, Shahrizan Mohamad, bersama kucing yang didandannya selepas muncul naib juara pertandingan dandanan kucing antarabangsa di Hextar World at Empire City, Selangor.

Anak Sarawak raih naib juara pertandingan dandanan kucing antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendandan kucing profesional, Shahrizan Mohamad, mengharumkan nama Sarawak apabila muncul naib juara dalam pertandingan dandanan kucing antarabangsa yang berlangsung di Hextar World at Empire City, Selangor, Ahad lalu.

Beliau yang juga pengasas Pusak Kamek Grooming and Boarding menjuarai tempat kedua bagi kategori Intermediate Level, meskipun berdepan cabaran kerana tidak berpeluang melihat dan menilai keadaan fizikal kucing lebih awal berikutan menggunakan kucing milik pihak lain dalam pertandingan tersebut.

Menurut Shahrizan, kejayaan itu menjadi detik penting dalam perjalanan kerjayanya sebagai pendandan kucing profesional apabila berjaya bersaing dengan peserta dari pelbagai negara yang mempunyai pengalaman serta kemahiran tinggi dalam industri dandanan kucing.

Beliau berkata pencapaian tersebut turut membuktikan bakat anak Sarawak mampu berdiri sama tinggi dengan peserta luar negara dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.

RAKAM KENANGAN… Shahrizan Mohamad bergambar bersama juri, Roy Tan (kiri) dan Master Suezy (kanan), selepas pertandingan dandanan kucing antarabangsa.

Dalam kategori yang disertainya, Shahrizan berjaya memperoleh pensijilan International Society of Feline Cosmetologist (ISFC Certification) selepas memperoleh markah melepasi syarat minimum kelulusan sebanyak 75 peratus.

“Pensijilan dan pertandingan ini menguji bukan sahaja hasil akhir kecantikan kucing, tetapi turut menilai pemahaman terhadap struktur bulu, teknik grooming, pembetulan kekurangan, pengendalian kucing serta kemampuan pendandan menghasilkan potensi terbaik seekor kucing.

“Dandanan kucing bukan sekadar menjadikan kucing kelihatan cantik, tetapi memerlukan ilmu mendalam tentang jenis bulu, karakter kucing dan teknik yang tepat untuk menyerlahkan keistimewaan setiap ekor kucing,” katanya.

SEBELUM DANDANAN… Keadaan kucing sebelum menjalani proses dandanan oleh Shahrizan Mohamad.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Shahrizan berkata pengalaman, ilmu dan kemahiran yang dikumpulkan selama ini membolehkannya menyesuaikan teknik grooming serta memberikan persembahan terbaik.

Katanya, cabaran tersebut membuktikan seseorang pendandan profesional perlu mampu membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan situasi dan sentiasa bersedia menghadapi perkara di luar jangkaan.
Sebagai pengasas Pusak Kamek Grooming and Boarding, beliau sentiasa berusaha meningkatkan standard industri penjagaan dan dandanan kucing di Sarawak.

Melalui pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, beliau berharap lebih ramai anak muda Sarawak melihat bidang dandanan kucing sebagai kerjaya profesional yang mempunyai potensi besar.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan latihan berterusan, disiplin dan kesungguhan mampu membawa bakat tempatan ke peringkat lebih tinggi.

SELEPAS DANDANAN… Kucing yang telah didandani dan dikemaskan oleh Shahrizan Mohamad.

Dalam pada itu, Shahrizan menegaskan kejayaan tersebut bukan hasil usahanya semata-mata, sebaliknya disokong oleh keluarga, mentor, pelanggan, rakan industri dan komuniti pencinta kucing yang sentiasa memberi dorongan sepanjang perjalanan kerjayanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, mentor beliau Master Groomer Suezy Suechanteeq Cattery, pelanggan Pusak Kamek Grooming and Boarding serta semua pihak yang sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan.

“Alhamdulillah, kejayaan ini bukan hanya tentang kemenangan peribadi. Ia adalah hasil daripada sokongan keluarga, mentor, rakan industri, pelanggan dan semua yang sentiasa percaya kepada perjalanan saya.

“Saya percaya grooming bukan sekadar menghasilkan kucing yang cantik, tetapi memahami setiap kucing, mengenali kelebihan dan kekurangannya serta memberikan hasil terbaik berdasarkan ilmu dan kemahiran yang ada.

“Ini hanyalah permulaan. Saya akan terus belajar, memperbaiki diri dan berusaha membawa industri grooming kucing di Sarawak serta Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kejayaan Shahrizan menjadi bukti bahawa usaha, ilmu dan semangat untuk terus belajar mampu membuka peluang di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi inspirasi kepada industri dandanan kucing tempatan untuk terus berkembang dan mencapai pengiktirafan dunia.

BERITA LAIN

JEP SEPAHTU bayar zakat RM1.93 juta

JEP SEPAHTU sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi 16 resit pembayaran zakat bagi tempoh 2016 hingga 2025 yang menunjukkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.93 juta. Perkongsian

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat