ARTIKEL

Fatimah bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Bulanan JKKSK Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Sarawak, di Kuching, hari ini.

Anak tidak sah taraf kategori tertinggi permohonan kewarganegaraan di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Permohonan kewarganegaraan melibatkan anak tidak sah taraf kekal menjadi kategori tertinggi yang diterima Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Sarawak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada keseluruhan 314 permohonan kewarganegaraan yang diterima bagi tempoh 2024 hingga 8 Mei 2026, sebanyak 191 permohonan melibatkan anak tidak sah taraf, manakala 98 kes melibatkan anak jagaan dan 25 lagi kes anak angkat.

“Bagi mesyuarat kali ini, sebanyak 32 permohonan dibentangkan dengan 21 daripadanya melibatkan anak tidak sah taraf, diikuti 10 kes anak jagaan dan satu kes anak angkat.

“Sebahagian besar permohonan anak tidak sah taraf ini diterima dari Kuching, diikuti Miri, Engkilili, Bau, Sri Aman dan Serian. Masalah ini berpunca daripada perkahwinan yang tidak teratur apabila anak dilahirkan sebelum pernikahan didaftarkan selain faktor ibu yang bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Bulanan JKKSK Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa daripada 21 permohonan tersebut, seramai 13 ibu kandung berasal dari Indonesia, manakala tiga kes tidak mempunyai maklumat lengkap, tiga dari Filipina, sementara masing-masing seorang dari China dan Vietnam.

“Kategori anak tidak sah taraf ini juga merujuk kepada anak yang dilahirkan sebelum perkahwinan ibu bapanya didaftarkan secara sah.

“Meskipun pasangan telah berkahwin di luar negara, mereka perlu memastikan perkahwinan tersebut didaftarkan di negara ini bagi mendapat pengiktirafan sah. Jika tidak, anak tersebut akan berstatus bukan warganegara dan tidak sah taraf.

“Sehubungan itu, amat penting untuk memastikan perkahwinan diuruskan dengan teratur dan didaftarkan dengan sempurna bagi mengelakkan masalah kewarganegaraan anak pada masa depan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau menambah bahawa bagi tempoh 2023 hingga 2024, sebanyak 141 permohonan telah diluluskan dan kini dalam proses pengeluaran sijil kewarganegaraan yang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan.

Setakat April 2026, sebanyak 1,037 sijil kewarganegaraan telah dikeluarkan melibatkan permohonan yang lulus termasuk permohonan lama sebelum penubuhan jawatankuasa khas berkenaan.

Fatimah turut menyifatkan penurunan jumlah permohonan bulanan sebagai petanda peningkatan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendaftaran perkahwinan secara sah, terutama yang melibatkan pasangan warga asing.

Dalam pada itu, beliau menegaskan JKKSK hanya berperanan membantu memudah cara dan menilai merit setiap permohonan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Tugas kita adalah membantu memproses permohonan dan membuat penilaian sebelum memutuskan sama ada jawatankuasa menyokong atau tidak menyokong permohonan tersebut.

“Bagaimanapun, keputusan akhir masih tertakluk kepada dasar, peraturan dan mekanisme sedia ada di bawah bidang kuasa KDN,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU