Angkara siapa? Empat kenderaan jadi arang. Kejadian berlaku di Jalan Mohd Musa Desa Ilmu Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak enam buah kenderaan terbakar disyaki perbuatan khianat di belakang bangunan bengkel berhampiran Jalan Mohd Musa Desa Ilmu, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak bagaimanapun mengesahkan Pasukan penyiasatan Zon 2 dan Pasukan Khas K9 telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan PKPgB Ebby Hirwandy Sarbini, kejadian dilaporkan berlaku oleh orang awam sekitar jam 9.55 pagi.
Katanya, kebakaran melibatkan enam buah kederaan dalam persediaan untuk dibaiki yang diletakkan pada jarak empat meter dari belakang bangunan terbabit.
“Api berjaya dipadam dengan menggunakan semburan dari dua aliran salur bantu mula dari pili bomba sehingga selesai.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati empat daripada keseluruhan kenderaan yang terbakar hangus secara keseluruhan.
“Enam kenderaan yang terlibat iaitu dua buah Van jenis FORD, sebuah Naza Citra, sebuah Toyota Gallant, sebuah Myvi dan sebuah Honda Accord,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, insiden tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan operasi pemadaman seterusnya ditamatkan pada jam 10.25 pagi.

PADAM…Pasukan bomba membuat pemadaman di lokasi kejadian

Suara Sarawak