BILAKAH tarikh pilihan raya Sarawak? Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada minggu lalu terpecah rahsia, memberi isyarat sekitar 100 hari lagi. Bermaksud sekitar tiga bulan.
Jika ditelaah maksudnya, mungkin penghujung September 2026. Mungkin pada tarikh itulah berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan pilihan raya diadakan sekitar Oktober hingga November. Tampaknya, telahan awal banyak pemerhati tidak meleset.
Biarpun realitinya, seperti kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak adalah pregroratif Premier Sarawak, sebagai ketua kerajaan, namun tidak semestinya keceloparan Dr Sim tidak boleh diambil kira.
Beliau tidak “tengok sahaja” kali ini, tapi benar-benar terlepas cakap, ketika memberi bayangan kepada komrad SUPP – tanpa sedar kehadiran petugas media, yang tidak berbaju kuning.
Dr Sim bukan individu pertama terlepas cakap. Sebelum ini, ketika merasmikan Mesyuarat Agung PBB Bahagian N8 Satok, Presiden parti PBB ketika itu, Pehin Sri Adenan Satem pernah menyebut di pembukaan ucapannya ketika melakukan perasmian — bila beliau akan membubarkan DUN Sarawak dan bila tarikh untuk mengadakan pilihan raya. Penulis ada di sana dan segera melakukan breaking news sedangkan ketika itu ramai wartawan lain berada di luar Kuching.
Sibu menjadi tumpuan kerana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang menghadiri satu majlis. Justeru apabila breaking news ini tersebar, maka telefon bimbit penulis berdering tanpa putus, meminta maklumat.
Kerana keterujaannya, Tok Nan ketika itu terlupa bahawa beliau hanya boleh mengumumkan tarikh pembubaran, namun tidak boleh mengumumkan kesepakatan bila pilihan raya, walaupun beliau tahu bila (sebagai caretaker government). Kerana ia bukan kuasa beliau.
Akhirnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menukar tarikh yang disepakati awal, untuk mengelakkan tanggapan negatif orang ramai.
Realitinya juga, tarikh pembubaran dan cadangan tarikh pilihan raya sudah ada dalam pemikiran Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau terkenal dengan seorang yang cukup berhati-hati dan sentiasa membuat persiapan rapi. Justeru sudah pasti di dalam hatinya sudah ada tarikh yang pasti, selain tarikh simpanan lain.
Dan sudah pasti pihak SPR sudah pun diberikan “hint” bila mereka perlu bersedia. Ya, hari raya itu semakin hampir, jika kita membaca secara dalam akan ucapan-ucapan yang beliau berikan.
Justeru apabila Dr Sim terlepas cakap, ia juga harus dibaca sebagai petanda. Ada beberapa petanda penting lain lagi, yang tidak perlu didedahkan di sini.
Bila waktu yang sesuai untuk pilihan raya? Waktu yang paling sesuai ialah ketika parti pemerintah (dalam konteks ini Gabungan Parti Sarawak) dalam keadaan kuat, selesa dan berjaya meraih keyakinan untuk dipilih semula. Namun yang paling baik adalah pada waktu yang “mengejutkan” lawan.
Tarikh yang tidak disangkasangka, dan ketika mereka tidak bersedia. Namun kita terpaksa akur, bahawa ketika ini, semua parti politik di Sarawak sudah melakukan persediaan rapi.
Semua parti sudah mula memikir, mengorek dan mencipta isu, sambil mencari calon-calon yang sesuai. Juga mencari dana, kerana memasuki pilihan raya tanpa “fulus”, umpama masuk ke “lubang neraka”. Panas tidak kesudahan. Tiada yang percuma dalam dunia hari ini.
Malah dalam ekonomi yang mencengkam ketika ini, “no money no talk, no money no work”. Air kopi yang diminum perlu dibayar, usah ditanya tentang rokok, bil telefon, internet dan duit petrol yang semakin tinggi.
Sudah pasti akan kekeringan jika mencari modal untuk berkempen pun tidak mampu. Kecualilah ada isu besar yang boleh menjungkarbalikkan dunia. Kalau tidak, masuk pentas pertandingan hanya membuang masa.
Kerana itulah, tidak hairan ketika ini banyak racun mula disemburkan dalam media sosial. Apa sahaja perkara, termasuk yang titik bengik, akan diputar sehabis deras.
Terkini, air yang dicatu secara berjadual untuk kerja-kerja penukaran paip besar di Miri, air kotor di Kuching malah isu kepimpinan Dayak versus Melayu oleh Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), kini marak dibakar dalam media sosial – seolah-olah wilayah ini tidak pernah aman, dan pimpinan hari ini kacau bilau.
Paling melucukan, ada pihak sanggup memutarkan isu 3R seperti wakil rakyat bukan Islam menyumbang lembu korban kepada masjid dan pertubuhan Islam pada Hari Raya Aidil Adha. Kenapa tidak “sedekahkan” babi pada sambutan Gawai?
Isu seperti ini tidak sepatutnya berlaku, kerana semua pihak tahu akan keharmonian yang sedia wujud dalam sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri ataupun Parlimen di wilayah ini.
Dan memberi sumbangan seperti itu bukanlah perkara baharu. Ia dilakukan oleh semua parti, setiap masa.
Namun demi agenda untuk memarakkan sentimen perkauman, maka ia ditulis secara kasar dalam media sosial.
Apakah dalam parti yang membuat dakwaan itu sendiri tidak ada penganut Islam? Dayak Islam?
Bagaimana perasaan mereka membaca kenyataan berhati busuk seperti ini?
Yang pasti, ketika musim pilihan raya dekat, isu seperti inilah yang paling laku untuk dididihkan. Membakar sentimen adalah satu-satu jalan untuk menukar pemikiran seseorang pengundi. Itu tanggapan politik usang.
Politik zaman dahulu, ketika ramai dalam kalangan rakyat tidak memiliki pendidikan yang tinggi.
Sekarang dengan perkembangan semasa dan rakyat semakin terdidik, mereka tidak akan mudah termakan dengan racun sentimen.
Mereka sebaliknya mahu realiti di depan mata. Mahukan pemimpin yang membawa pembangunan, bukan retorik dan yang paling penting, turun padang bukan musiman, atau ketika pilihan raya. Tiada lagi ruang untuk pelakon-pelakon politik.
Dan di peringkat nasional, juga musim pilihan raya sedang berlangsung, parti-parti politik yang dahulu bersatu, kini semakin berpecah-belah. Kenapa?
Mungkin kerana masing-masing percaya boleh memberi majoriti atau menjadi Perdana Menteri. Atau beranggapan hanya dengan berpecah dan bertanding solo, mereka dipilih rakyat.
Mungkin juga sebab janji dalam kempen dahulu yang memusuhi rakanrakan kemudian yang menjadi sekutu?
Dan selepas keputusan pilihan raya diumumkan, ia menjadi perkara lain. Mungkin juga dengan berlakunya perpecahan dan bergerak solo, parti-parti ini turut mencatur langkah bertanding dalam PRN Sarawak?
Ketika ini, nampaknya ada parti dari wilayah ini yang sudah mengintai sebagai “mesra BN”. Sudah ada gerakan ke arah itu, dengan harapan BN yang kaya dengan xperuntukan akan membantu mereka dalam PRN Sarawak.
Menariknya, di mana pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui begitu akrab dengan Abang Johari, dan menghormati GPS. Apakah beliau membenarkan Dr Ahmad Nazib untuk membawa bendera bertanding, mencabar GPS, atau kali ini membiarkan biduk berlalu?
Anwar yang akan datang ke Sarawak 21 Jun ini ada 100 hari untuk memikirkannya, kerana pertarungan sebenar beliau adalah ketika pilihan raya umum, yang kini beliau enggan kongsikan kepada sesiapa.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

