KUCHING: ADUN Pending, Violet Yong, diarahkan keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, hari ini selepas enggan menarik balik gelaran ‘pengecut politik’ yang ditujukan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin.
Arahan itu dibuat selepas Asfia memutuskan gelaran berkenaan sebagai bahasa tidak berparlimen dan mengarahkan ia dipadam daripada Hansard.
“Saya memutuskan bahawa perkataan yang digunakan itu merupakan bahasa tidak berparlimen, menghina dan mengaibkan.
Saya memutuskan perkataan itu hendaklah dipadam daripada Hansard.
“Saya juga sudah meminta Violet menarik balik perkataan itu, namun permintaan berkenaan ditolak,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Asfia kemudian mengarahkan Violet keluar dari Dewan, menegur tindakannya sebagai biadab dan tidak beradab.
Tindakan itu menyusul selepas Violet terus mencela meskipun Speaker sudah membuat keputusan berhubung penggunaan gelaran berkenaan, sekali gus dianggap tidak menghormati keputusan dan peraturan Dewan.
Lee membangkitkan perkara itu di bawah Peraturan Mesyuarat 23(2)(p), dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 32(4) yang melarang penggunaan bahasa menghina atau menyinggung perasaan ahli Dewan.
Dalam permohonannya kepada Speaker, Lee berkata gelaran itu diulang beberapa kali oleh Violet ketika persidangan semalam dan direkodkan dalam Hansard belum disunting pada halaman 61 hingga 63.
“Saya berpendapat perkataan yang digunakan terhadap saya merupakan penghinaan peribadi dan melanggar peruntukan tersebut,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan perbahasan dan penelitian terhadap sesuatu isu perlu dijalankan dengan menghormati Peraturan Mesyuarat serta menjaga maruah Dewan.
Semalam, Violet menggelar Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin sebagai ‘pengecut politik’ ketika mencelah ucapan penggulungan kementerian beliau di DUN Sarawak.
Violet mencelah ketika Lee menjawab perkara yang dibangkitkan ADUN Padungan Chong Chieng Jen, antara lainnya berhubung gesaan supaya Kerajaan Sarawak membatalkan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA) dan projek infrastruktur strategik lain.
Lee menyifatkan hujah Chong minggu lalu sebagai ‘berpandangan cetek’ dan contoh ketara dwistandard politik.
Bagaimanapun, kenyataan itu mencetuskan bantahan Violet yang mempersoalkan tindakan Lee mengulas perkara terbabit ketika Chong tidak berada di dalam dewan selepas digantung daripada menghadiri Persidangan DUN sehingga 21 Oktober.
Violet menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pengecut politik’ dan enggan menarik balik perkataan ‘pengecut’ selepas diminta berbuat demikian oleh Lee.




