ATM bantu mangsa banjir dan kebakaran

SRI AMAN: Seramai 17 petugas daripada Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama penduduk kampung membersihkan sisa rumah akibat kebakaran Sabtu lalu serta kawasan terjejas akibat banjir semalam.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, Ops Murni itu melibatkan petugas terdiri daripada seorang pegawai dan 16 anggota lain-lain pangkat yang diarahkan untuk bergotong-royong bersama penduduk kampung.
“Kerja-kerja pembersihan bermula jam 2 petang dan berakhir pada jam 5 petang berjalan dengan baik.
“Pasukan operasi hadir membantu warga kampung untuk membersihkan sisa kebakaran empat buah rumah di kampung Hilir.

“Kita difahamkan tiada sebarang kehilangan nyawa dalam kejadian,” kata kenyataan itu.
Kerja-kerja pembersihan berjalan lancar dan selesai pada jam 5.00 petang.
Tambahnya, Pasukan 13 RAMD dalam perancangan merancang untuk berkunjung semula ke kampung tersebut pada hari ini (19 Januari) bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir dan kebakaran.
Tegasnya, Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa komited dan sedia membantu pihak berkuasa awam mahupun rakyat yang memerlukan bantuan seiring dengan Perintah Ulung PTD ke-28 dalam Tonggak Kelima yang menekankan peningkatan hubungan Tentera Darat dengan pihak awam.