KUCHING: Kerajaan Australia menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Sarawak dalam bidang tenaga dan kelestarian alam sekitar, khususnya membabitkan perkongsian kepakaran teknikal serta pertukaran ilmu.
Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Australia-Asia Utara, Robyn Cahill berkata, Sarawak dilihat sebagai rakan strategik yang berpotensi tinggi berikutan pendekatannya yang progresif dalam merangka masa depan tenaga bersih dan mampan.
“Kami mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni hari ini (semalam) bagi membincangkan peluang kerjasama yang boleh diterokai bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu turut menyentuh keselarasan dasar antara Sarawak dan Australia dalam mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui serta usaha memperkukuh daya tahan perubahan iklim.


Kerjasama itu katanya, dilihat berpotensi memanfaatkan kedua-dua pihak dalam merealisasikan agenda pembangunan tenaga bersih di rantau ini.
Sementara itu, Dr Hazland menyambut baik komitmen Australia untuk menjalin kerjasama strategik dalam bidang tenaga dan kelestarian alam sekitar.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut berkongsi beberapa inisiatif utama di bawah kementeriannya yang menjadi asas kepada peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau.
Kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa pertukaran kepakaran teknikal, penyelidikan bersama dan pelaksanaan program kolaboratif mampu mempercepat pencapaian matlamat bersama, sekali gus memberi manfaat besar kepada pemegang taruh di kedua-dua rantau.
Perbincangan juga menyentuh pelbagai peluang lain termasuk pembangunan kapasiti, kerjasama antara industri dengan institusi akademik serta pelaksanaan projek perintis dalam bidang penghasilan hidrogen, penangkapan karbon dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Kunjungan hormat itu diakhiri dengan komitmen bersama untuk mengenal pasti pelan tindakan yang boleh dilaksanakan serta mengekalkan hubungan secara berterusan menerusi platform dua hala dan dialog teknikal.


