KUCHING: Pengguna Lebuh Raya Pan Borneo dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan ketika berada di kawasan pusingan U terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, langkah itu penting memandangkan lokasi berkenaan dikenal pasti antara kawasan kerap berlaku kemalangan di negeri ini.
“Pengguna jalan raya khususnya di Lebuh Raya Pan Borneo dinasihatkan untuk memberi perhatian di kawasan pusingan U yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.
“Justeru, kita meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan pusingan U di Lebuh Raya Pan Borneo kerana masih ramai yang cuai sehingga menyebabkan peningkatan kes kemalangan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Advokasi dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 26 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Farley Kota Samarahan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Sarawak secara keseluruhan tidak mempunyai lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan titik panas atau hotspot kemalangan.
“Bagaimanapun, seperti yang saya nyatakan, kawasan Lebuh Raya Pan Borneo khususnya di laluan pusingan U memang kerap berlaku kemalangan.
“Oleh itu, pengguna jalan raya diminta supaya lebih berhati-hati,” tegasnya.

Untuk rekod, sebanyak 332 kes kemalangan jalan raya direkodkan semasa Aidilfitri 2025 berbanding 354 kes pada 2024 yang menunjukkan penurunan sebanyak 22 kes atau 6.2 peratus.
Sementara itu, jumlah kemalangan maut turut menunjukkan penurunan pada 2025 iaitu lima kes berbanding tujuh kes pada 2024.
Selain itu, penyumbang kemalangan jalan raya tertinggi di Sarawak semasa Op Selamat 24 bagi tahun 2025 adalah daerah Kuching yang merekodkan sebanyak 87 kes, diikuti Miri (50 kes) dan Padawan (43 kes).



