KUCHING: Program kesuburan bakal diberi tumpuan dalam Bajet 2027 bagi menangani kadar kelahiran yang rendah, khususnya di Sarawak dan Pulau Pinang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program berkenaan termasuk inisiatif di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang sememangnya sudah dilaksanakan.
Menurutnya, tumpuan lebih besar akan diberikan tahun depan bagi menggalakkan lebih ramai pasangan, terutama golongan muda, untuk mempunyai anak.
“Program itu sememangnya sudah dilaksanakan di bawah LPPKN dan peruntukannya turut disediakan di bawah LPPKN.
Terdapat beberapa program yang akan kita laksanakan.
“Sebenarnya, kita sudah melaksanakannya, cuma kita mahu memberikan tumpuan yang lebih pada tahun depan bagi menggalakkan lebih ramai pasangan, khususnya dalam kalangan golongan muda, untuk mempunyai anak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perantis Pendaya 2.0: Memperkasa Usahawan Wanita Dayak Untuk Kepimpinan, Skala dan Kelestarian di Menara Dayak Chamber di sini, hari ini.
Nancy berkata, kerajaan menyedari faktor ekonomi turut menjadi antara perkara yang mempengaruhi keputusan pasangan untuk mempunyai anak, namun aspek berkenaan akan turut ditangani menerusi kementerian lain.
“Bagi pihak kami, tumpuan adalah kepada program-program yang dapat menggalakkan mereka untuk mempunyai anak.
“Kita perlu meningkatkan populasi negara,” ujarnya.
Menurutnya, Sarawak dan Pulau Pinang antara negeri yang memerlukan perhatian dalam usaha meningkatkan Kadar Kesuburan Total (TFR).
“Terdapat kajian berkaitan kadar kesuburan yang boleh membantu kerajaan merangka langkah selanjutnya, namun hasil kajian berkenaan akan dikongsikan pada masa akan datang,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Nancy berkata peruntukan kementeriannya dalam Bajet 2027 dijangka meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya, khususnya bagi memenuhi keperluan kumpulan sasar.
Katanya, antara kumpulan yang diberi perhatian termasuk wanita, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan penerima bantuan kebajikan.
“Memang terdapat pertambahan berbanding tahun lalu, namun jumlahnya tidak terlalu besar.
“Kita hanya meningkatkan sedikit peruntukan bagi mengambil kira kemungkinan pertambahan jumlah pemohon pada tahun berkenaan,” katanya.
Beliau berkata pertambahan itu penting bagi memastikan kementerian tidak berdepan kekurangan peruntukan sekiranya berlaku peningkatan jumlah penerima atau permohonan bantuan.

