ADAKALANYA saya sendiri buntu untuk menentukan apa yang harus ditulis dalam kolum mingguan ini. Ada minggu yang terasa begitu murah idea sehingga dua kolum mampu disiapkan dalam tempoh singkat.
Namun, ada juga ketikanya, setiap ayat yang ditap terasa janggai, setiap isu yang difikirkan seakan-akan tidak cukup kuat untuk dikongsikan.
Lalu, saya mula, padam, simpan semula. Barangkali ini berbeza dengan rakan-rakan penulis lain yang begitu kerap menulis isu semasa, politik, ekonomi atau polemik masyarakat. Saya menghormati ruang dan kekuatan mereka dalam mengupas hal-hal tersebut.
Namun, bagi saya, setelah seharian menyunting berita tentang jenayah, tragedi dan pelbagai sisi getir kehidupan manusia, menulis ruang yang dekat dengan hati bukan sekadar memenuhi ruang untuk saya menjadi rapat.
Ruang kecil ini adalah tempat saya meleraikan ketegangan mingguan yang terhimpun sepanjang hari. Tempat saya kembali kepada hal-hal yang lebih dekat dengan hati. Yang lebih jujur. Yang lebih manusia. Dan, mungkin kerana itulah, dalam suasana Syawal yang masih bersisa ini, hati saya masih belum benar-benar keluar daripadanya.
Semalam, saya diberikan senaskhah kolum portal arus perdana tentang kerusi kosong di pagi Syawal. Saya membacanya sekali. Kemudian saya ulang lagi. Dan, sekali lagi. Ada sesuatu yang meresap perlahan-lahan ke dalam hati saya. Sesuatu yang sukar dijelaskan tetapi cukup kuat untuk membuatkan saya diam seketika.
Namun, kisah saya bukan tentang kerusi kosong itu. Saya tidak berbicara tentang ruang yang ditinggalkan di meja makan atau tempat duduk yang tidak lagi berpenghuni di ruang tamu. Kisah saya jauh lebih kecil, lebih sunyi tetapi entah mengapa, terasa lebih dekat dan nyata.
Ia tentang sepasang baju Melayu. Masih tergantung di dalam almari ibu saya. Setahun sudah berlalu, namun baju itu masih di situ tidak terusik, tidak beralih kerana pemiliknya tidak sempat menyarungnya. Seolah-olah masa tidak berjalan untuknya. Seolah-olah ia masih menunggu.
Tiga hari sebelum Syawal, pada Rabu minggu lalu, saya membuka almari itu seperti biasa. Tidak ada niat khusus. Hanya sekadar mencari sesuatu. Namun pandangan saya tertancap pada baju Melayu itu.
Saya berhenti. Kainnya masih licin, tanpa sedikit pun ronyok. Seperti baru digosok, seperti baru disiapkan untuk dipakai. Butang bajunya terletak kemas, tergantung rapi, tidak berubah, tidak bergerak.
Ada satu perasaan yang sukar digambarkan ketika itu. Seakan-akan baju itu bukan sekadar pakaian menjadi pemain yang lebih selesa.
Saya mendekat. Saya sentuh. Saya lihat. Saya pandang. Itu sahaja. Tidak ada air mata yang jatuh ketika itu. Tidak ada kata-kata yang terucap. Hanya diam yang panjang. Diam yang sarat dengan seribu rapa yang tidak mampu diterjemahkan.
Barangkali benar, kehilangan itu tidak selalu datang dalam bentuk kekosongan. Kadang-kadang ia hadir dalam bentuk yang jauh baju yang seperti tapak baju yang tidak lagi dipakai, dahulu.
Saya tidak pasti apa yang lebih berat melihat kekosongan atau melihat sesuatu yang masih kekal seperti tidak pernah berubah.
Kerusi kosong itu jelas memberitahu kita bahawa seseorang sudah tiada. Tetapi baju Melayu itu? la seakan-akan memberi ilusi bahawa pemiliknya masih ada. Masih akan pulang. Masih akan menyarungnya pada pagi raya.
Dan, mungkin itulah yang membuatkan ia lebih menyentuh kerana di situlah rindu menjadi lebih hidup.
Raya tahun ini terasa berbeza. Walaupun persiapan dilakukan seperti biasa, namun ada sesuatu yang tidak dapat digantikan. Sesuatu yang tidak dapat dibeli, tidak dapat disusun semula.
Kehadiran. Saya percaya ramai yang melalui perasaan yang sama. Ada yang kehilangan ayah, ibu, pasangan, atau ahli keluarga tersayang. Dan, setiap daripada kita mempunyai baju Melayu tersendiri. Simbol kecil yang menyimpan kenangan besar.
Mungkin ada yang masih menyimpan cawan kegemaran di rak dapur. Mungkin ada yang masih membiarkan bantal di katil tidak beralih. Atau mungkin juga ada yang masih menyimpan mesej terakhir di telefon, tidak pernah dipadam.
Benda-benda kecil ini, walaupun kelihatan remeh sebenarnya menjadi jambatan antara kenangan dengan realiti. Ia mengingatkan kita bahawa sesuatu yang pernah ada itu benar-benar wujud bukan sekadar bayangan atau mimpi.
Namun dalam masa yang sama, ia juga mengajar kita tentang satu perkara yang paling sukar untuk diterima bahawa tidak semua yang kita sayang akan kekal bersama kita selamanya.
Saya berdiri di hadapan almari itu agak lama. Tanpa sedar, saya terfikir, adakah wajar untuk baju itu terus tergantung di situ? Atau suatu hari nanti, ia perlu dilipat, disimpan atau mungkin diberikan kepada orang lain?
Tetapi biarlah ia di situ buat sementara waktu. Biarlah ia terus menjadi saksi kepada rindu yang belum reda. Kerana kadang-kadang, kita tidak perlu tergesa-gesa untuk melepaskan.
Ada rindu yang perlu kita peluk seketika. Ada kenangan yang perlu kita biarkan hidup walaupun hanya dalam bentuk yang sederhana seperti sehelai baju.
Pemilik baju Melayu itu. Yang pernah menghidupkan setiap pagi raya dengan senyuman dan suara yang kini hanya tinggal dalam ingatan.
Dan mungkin, suatu hari nanti, apabila hati ini sudah lebih reda, saya akan membuka almari itu tanpa rasa yang terlalu berat. Saya akan melihat baju itu bukan sebagai kehilangan tetapi sebagai kenangan yang indah.
Namun buat masa ini, biarkan ia di situ. Masih memandang. Masih menyimpan. Masih merindui.
Dan, baju Melayu itu masih setia menunggu dalam diam yang panjang. Walaupun realitinya, ia tidak akan disarung ke tubuh pemiliknya sampai bila-bila.
Ia kini sekadar tergantung diam, menyimpan seribu cerita yang tidak sempat disempurnakan. Disimpan kemas, warnanya masih segar, seolah-olah menunggu satu pagi raya yang tidak akan pernah tiba.
Dalam diam itu, terselit rindu yang sukar diungkap, rindu yang hadir tanpa diundang tetapi ia enggan pergi.



