LAWAS: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Baru Bian berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Pita Asut bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.81 Ba’Kelalan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Menariknya, Sam Laya yang pernah bertanding menentang Baru Bian sebagai calon GPS pada PRU Sarawak Ke-12 (2021), kini bertindak sebagai pencadang kepada Baru Bian dalam penamaan calon DUN Ba’Kelalan, manakala Asut Braok disenaraikan sebagai penyokongnya pada PRU Sarawak Ke-13.

Bagi pihak lawan, calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Pita Asut Peter Asut turut mengemukakan pencalonannya dengan Padan Asai disenaraikan sebagai pencadang, manakala Semuel Asut sebagai penyokong.
Baru ketika ditemui berkata, peluang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Ba’Kelalan menjadi satu tanggungjawab yang ingin digalasnya, selain berharap kawasan itu terus mendapat perhatian dalam agenda pembangunan negeri.
Beliau berharap penduduk Ba’Kelalan turut menikmati manfaat daripada kemajuan Sarawak dan bergerak seiring dengan arus pembangunan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya berharap Ba’Kelalan turut termasuk dalam arus pembangunan negeri dan bersama-sama menikmati kemajuan Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Dalam kenyataan menjelang proses penamaan calon, hari ini, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong yang hadir memberikan sokongan dan semangat kepadanya.
“Saya amat bersyukur kepada Tuhan atas kesempatan dan peluang yang diberikan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Ba’Kelalan.
“Dengan doa, sokongan dan kepercayaan anda, kita terus melangkah bersama. Semoga segala urusan hari ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Baru memulakan perjalanan politiknya pada 1991 apabila bertanding di kerusi DUN Lawas atas tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). Beliau kemudian bertanding di Ba’Kelalan sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil 2004 sebelum mewakili Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada pilihan raya 2006.


Pada PRU 2011, beliau memenangi kerusi Ba’Kelalan atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan berjaya mempertahankannya pada PRU 2016. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018, beliau turut memenangi kerusi Parlimen Selangau atas tiket PKR.
Beliau meninggalkan PKR pada 2020 sebelum menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB). Pada PRU Sarawak Ke-12, Baru sekali lagi memenangi kerusi Ba’Kelalan atas tiket PSB.
Selepas pembubaran PSB pada 2024, beliau menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan kini kembali bertanding di Ba’Kelalan atas tiket GPS.

