BAS HIDROGEN disambung semula

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd menyambung semula perkhidmatan operasi percubaan bas hidrogen berkuat kuasa Isnin lalu.

Menurut kenyataan media, perkhidmatan tersebut bukan sahaja dikendalikan dari laluan Warisan Pusat Bandar, malah juga melayani penumpang dari Jalan Tun Abang Haji Openg menuju hospital.

“Semua pemandu bas hidrogen juga diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan yang diperlukan sebelum beroperasi, manakala semua bas yang digunakan turut dibersihkan dan disanitasi.

“Langkah itu adalah untuk memastikan semua pihak terlibat dalam keadaan selamat dan bebas dari penularan wabak Covid-19,” katanya.

Difahamkan, Sarawak Metro yang merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sejak memperkenalkan semula operasi percubaan bas hidrogen sejak September tahun lalu.

Terdahulu, perkhidmatan operasi percubaan bas hidrogen diper-kenalkan pada Januari tahun lalu dan terpaksa dihentikan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa pada Mac.

Bagaimanapun, perkhidmatan operasi percubaan disambung semula pada September 2020, mengikut garis panduan ditetapkan.

Selain melalui laluan di Warisan Pusat Bandar yang beroperasi dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari, perkhidmatan ini juga menyediakan dua perjalanan ke Damai Central pada hujung minggu pada 10 pagi dan 2 petang, melalui laluan Damai.

Orang ramai digalak menggunakan kedua-dua laluan yang dilalui perkhidmatan ini bagi memanfaat
kan perkhidmatan percuma yang ditawarkan.

Perjalanan untuk kedua-dua laluan bermula dari perhentian bas di hadapan Riverside Majestic Hotel.

Suara Sarawak