ARTIKEL

Dania Kamalul (kiri) dan Aliesha Nadira (kanan) ketika ditemui pemberita pada Majlis Pembukaan Cawangan Ke-18 Bayu Somerset sempena ulang tahun kelima penubuhan Bayu Somerset di Pusat Beli-belah Vivacity, di sini, hari ini.

Bayu Somerset buka cawangan pertama di Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bermula sebagai sebuah platform dalam talian lima tahun lalu, Bayu Somerset mencipta satu lagi kejayaan apabila membuka cawangan fizikal pertama di Borneo, sekali gus memperluaskan jenama fesyen tempatan itu ke Sarawak.

Pembukaan cawangan di Pusat Beli-belah Vivacity menjadi detik istimewa buat Bayu Somerset sempena ulang tahun kelima penubuhannya, selain menandakan langkah strategik syarikat untuk mendekati pelanggan di Sarawak dan Sabah.

KENANGAN… Dania Kamalul dan Aliesha Nadira bersama pihak pengurusan Bayu Somerset merakamkan kenangan pada Majlis Pembukaan Cawangan Ke-18 Bayu Somerset sempena ulang tahun kelima penubuhan Bayu Somerset di Pusat Beli-belah Vivacity, di sini, hari ini.

Beroperasi di ruang seluas 1,474 kaki persegi, cawangan berkenaan merupakan cawangan ke-18 Bayu Somerset di seluruh negara dengan syarikat menyasarkan pembukaan 30 cawangan menjelang penghujung tahun ini.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, pembukaan cawangan pertama di Borneo amat bermakna selepas lima tahun membina jenama yang mengangkat identiti Malaysia menerusi gabungan warisan budaya dan gaya moden.

“Lima tahun lalu, kami memulakan perjalanan ini dengan satu impian untuk membina sebuah jenama fesyen tempatan yang menghargai warisan budaya Malaysia, di samping memenuhi keperluan wanita moden.

“Hari ini, melihat jenama ini berkembang daripada sebuah platform dalam talian kepada rangkaian cawangan yang mendapat kepercayaan ratusan ribu pelanggan di seluruh negara merupakan satu pencapaian yang amat bermakna buat kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pembukaan Cawangan Ke-18 Bayu Somerset sempena ulang tahun kelima penubuhan Bayu Somerset di Pusat Beli-belah Vivacity, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemilihan Kuching sebagai lokasi pertama Bayu Somerset di Malaysia Timur dibuat berdasarkan sokongan kukuh pelanggan Sarawak sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sering menerima pertanyaan daripada pelanggan di Sarawak mengenai bilakah Bayu Somerset akan membuka cawangan di sini.

“Hari ini, kami amat bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat merealisasikan harapan tersebut.

“Pembukaan cawangan pertama di Kuching bukan sahaja bermakna buat kami, malah menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat bersama masyarakat Sarawak,” ujarnya.

Mengulas perkembangan jenama itu, Dania berkata Bayu Somerset yang bermula ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pada 2021 kini berkembang dengan jumlah pelanggan melebihi 500,000 orang di seluruh Malaysia.

Katanya, pencapaian itu menjadi penanda aras terhadap kepercayaan pelanggan terhadap jenama berkenaan yang berpegang kepada falsafah Fesyen Melangkaui Zaman, iaitu menghargai warisan sambil berkembang seiring perubahan gaya hidup moden.

“Kejayaan ini membuktikan kepercayaan pelanggan terhadap jenama kami.

“Sebagai jenama, kami melihat diri kami sebagai jenama yang mengetengahkan seni dalam rekaan. Kami suka bereksperimen dalam setiap rekaan dan setiap koleksi mempunyai tema tersendiri.

“Sebagai contoh, koleksi Strawberry Matcha dihasilkan berdasarkan tema tertentu sebelum diterjemahkan secara kreatif ke dalam rekaan pakaian,” jelasnya.

Tambah beliau, identiti Bayu Somerset terletak pada usaha menghidupkan semula keindahan siluet klasik Malaysia seperti baju kurung Kedah, baju kebaya dan baju kurung kebarung menerusi sentuhan kontemporari.

“Kami masih mengekalkan elemen tradisional, tetapi mempersembahkannya dalam gaya moden menggunakan warna segar, ceria dan berani yang menjadi identiti jenama kami.

“Kami mahu setiap individu berasa yakin apabila memakai pakaian Bayu Somerset,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut melihat potensi untuk menghasilkan koleksi eksklusif yang diinspirasikan daripada Sarawak pada masa akan datang.

“Memandangkan kami baru memasuki Malaysia Timur, kami mahu mempelajari budaya dan cita rasa masyarakat di sini terlebih dahulu.

“Sepanjang perjalanan itu, kami percaya akan mendapat inspirasi untuk menggabungkan elemen tempatan dalam rekaan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komersial dan Runcit Bayu Somerset, Aliesha Nadira berkata, pihaknya sentiasa mengenal pasti lokasi berpotensi bagi mengembangkan rangkaian cawangan jenama berkenaan.

“Kami sentiasa mengadakan lawatan tapak dan melihat banyak potensi di sini.

“Kami juga mempunyai rancangan untuk membuka cawangan pertama di Sabah menjelang penghujung tahun ini,” katanya.

Mengulas konsep cawangan baharu itu, beliau berkata pelanggan di Kuching kini boleh mendapatkan lebih 190 rekaan daripada lebih 10 kategori produk.

“Antara koleksi yang ditawarkan termasuk baju kurung Kedah, baju kebaya dan baju kurung kebarung.

“Selain itu, terdapat juga pakaian lelaki, pakaian kanak-kanak, selendang dan aksesori serta barangan eksklusif menampilkan Molly, maskot ceria Bayu Somerset,” jelasnya.

Dalam usaha memastikan fesyen dapat dinikmati semua golongan, Aliesha berkata Bayu Somerset turut mengekalkan komitmen terhadap konsep inklusif menerusi pilihan saiz daripada XXS hingga 5XL.

“Kami percaya setiap individu tanpa mengira bentuk atau saiz badan berhak menikmati rekaan pakaian yang cantik, selesa dan meningkatkan keyakinan mereka,” tambahnya.

Sempena pembukaan rasmi cawangan di Pusat Beli-belah Vivacity, pelanggan turut berpeluang menikmati pelbagai promosi istimewa termasuk tawaran beli satu percuma satu.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati pulangan tunai lima peratus untuk ahli, kemudahan pertukaran dan pemulangan barangan di semua cawangan Bayu Somerset serta penghantaran terus ke rumah bagi produk atau saiz yang tidak tersedia di kedai.

CANTIK… Pempengaruh menggayakan baju kurung dan kebaya moden keluaran Bayu Somerset pada Majlis Pembukaan Cawangan Ke-18 Bayu Somerset sempena ulang tahun kelima penubuhan Bayu Somerset di Pusat Beli-belah Vivacity, di sini, hari ini.

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,