BazarNita Fatima perkasakan ekonomi wanita

MUKAH: BazarNita Fatima yang sedang dibangunkan sebagai untuk memperkasakan wanita dalam aktiviti ekonomi di kawasan Dalat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pembinaan BazarNita Fatima sebagai menghargai usaha wanita yang gigih menyara keluarga menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Bila ke Kelantan kita ada tempat dinamakan Pasar Siti Khatijah, namun bila ke Dalat kita ada BazarNita Fatima dan nama ini dipilih sendiri oleh wanita-wanita di sini.

“Pastinya ia dibina bagi memperingati serta menghargai usaha wanita yang gigih menyara keluarga,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Taman Solidariti Dalat di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengumumkan peruntukan tambahan sejumlah RM150,000 untuk Bangunan BazarNita.

Fatimah berkata, kewujudan BazarNita Fatima sebagai lambang kegigihan wanita Dalat sejak dahulu lagi.

Katanya, dahulunya wanita di Dalat sering berjauhan dengan suami yang bekerja dalam industri pembalakan luar dari Dalat dan ia juga merupakan industri yang dianggap popular suatu ketika dahulu.

“Para suami selalunya akan meninggalkan keluarga serta isteri dan anak-anak untuk satu tempoh agak lama sebelum kembali ke rumah maka isteri akan dibekalkan wang untuk dibelanjakan sementara menantikan kepulangan suami.

“Kebiasaannya, wang ini tidak mencukupi untuk menyara keluarga dan isteri akan mengambil inisiatif melakukan pekerjaan sampingan bagi menampung keperluan keluarga dan sikap itu dikekalkan sehingga kini.

“Malah pelbagai pekerjaan dilakukan isteri demi kelangsungan hidup sehingga kepulangan suami tercinta termasuk berniaga secara kecil-kecilan,” katanya.

Beliau berharap dengan adanya BazarNita Fatima, golongan wanita akan terus gigih membangunkan ekonomi mereka.

Sehingga kini BazarNitaFatima belum siap sepenuhnya dan ia memerlukan tambahan lantai jubin dan atap yang lebih selamat agar wanita dapat berjual dengan selesa.

Suara Sarawak