BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) terus komited memperkasa pembangunan bandar Bintulu melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang menekankan kemampanan, nilai komuniti dan kualiti hidup rakyat.
Timbalan Pengerusi BDA, Datuk Haidar Khan Asghar Khan berkata BDA bukan sekadar sebuah agensi pembangunan, malah turut memikul tanggungjawab besar dalam memastikan pertumbuhan Bintulu kekal mampan dan seimbang.
“Kami mahu menjadikan Bintulu sebagai sebuah bandar yang bernilai, lestari dan paling penting membanggakan untuk kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Tumbina 2025 di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, antara projek utama yang akan dilaksanakan BDA pada tahun hadapan ialah menaik taraf dan menceriakan Pantai Tanjung Batu yang selama ini menjadi destinasi rekreasi utama warga Bintulu khususnya pada hujung minggu.
“Kita mahu menjadikan pantai ini lebih selesa, indah dan mesra pengunjung supaya ia kekal sebagai lokasi santai pilihan penduduk,” ujarnya.
Pada masa yang sama, BDA kini membangunkan sebuah medan selera berkonsepkan kelainan yang terletak di hujung jalan Pantai Tanjung Batu.
Projek tersebut dijangka menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung tempatan dan pelancong.
Jelas Haidar, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BDA untuk menyediakan kemudahan awam yang selesa, inklusif dan memberi nilai tambah kepada komuniti setempat.

