MIRI: Beberapa jalan di sekitar bandar ini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat esok hari bagi memberi ruang kepada penganjuran Pullman Half Marathon 2025.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penutupan jalan itu akan bermula seawal 4 pagi dan dijangka berakhir pada 8 pagi melibatkan kesemua kategori larian yang dipertandingkan.
“Acara berkenaan membabitkan tiga jarak iaitu 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer yang akan bermula serta berakhir di pekarangan Pullman Hotel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mohd Farhan, beberapa laluan utama akan digunakan sebagai trek larian termasuk Jalan Marina Utama, Jalan Marina 1, Jalan Brighton dan Jalan Luak/Esplanade.
Pada masa yang sama katanya, beberapa kawasan akan ditutup sepenuhnya atau dilencongkan, antaranya Bulatan Pullman, lampu isyarat Marina 1, Marina 3 dan Marina 5, selain lampu isyarat Jalan Bandaraya dan lampu isyarat Brighton Marina Utama.
“Turut terlibat ialah Bulatan Marriott serta lampu isyarat Tanjung Lobang, lampu isyarat Luak, lampu isyarat Masjid Luak dan lampu isyarat Jalan Aru yang akan mengalami sekatan sepanjang tempoh acara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan polis bagi memastikan kelancaran serta keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang awam boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Miri di talian 085-430479,” katanya.




