KUCHING: Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) iaitu inisiatif bebas grid yang menyediakan bekalan air bersih ke kawasan pedalaman telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 buah kampung di seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, inisiatif tersebut yang giat dijalankan hingga kini merekodkan bahagian Bintulu sebagai penerima tertinggi sebanyak 21 buah, diikuti bahagian Samarahan sebanyak 15 buah, dan bahagian Mukah sebanyak 13 buah.
“Kementerian sedang meneroka salah satu kaedah pelaksanaan projek bekalan air bersih melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) untuk pelaksanaan program Penghasilan Air Tanpa Pendapatan (NRW) dan SAWAS di kawasan luar bandar.
“Untuk SAWAS, sebanyak 79 buah kampung dan rumah panjang yang telah mendapat manfaat merangkumi bahagian Kuching sebanyak tujuh buah, bahagian Samarahan sebanyak 15 buah, bahagian Sri Aman tiga buah, Sarikei tiga buah, Sibu dua buah, bahagian Bintulu 21 buah, Mukah (13 buah), Kapit (tujuh buah), Miri (lima buah), dan bahagian Limbang tiga buah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementeriannya sempena mesyuarat ketika bagi penggal keempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di DUN, hari ini.
Tambahnya, usaha memperkasakan inisiatif itu akan diteruskan dengan anggaran sebanyak 1,300 lagi kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman akan mendapat bekalan air bersih melalui SAWAS.
“Anggaran 1,300 buah kampung dan rumah panjang akan meliputi kawasan bahagian Sri Aman sebanyak 184 buah, bahagian Sarikei 151 buah, bahagian Sibu lapan buah, bahagian Mukah 23 buah, Bintulu 250 buah, Kapit 474 buah, Miri 160 buah, dan Limbang 50 buah,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan kementeriannya menerusi Jabatan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) telah melaksanakan inisiatif Loji Rawatan Air Kecemasan.
Katanya, inisiatif itu adalah sebagai langkah peralihan sebelum penyiapan sistem grid air bagi menampung kekurangan bekalan air di kawasan kritikal.
Setakat ini katanya, sebanyak 16 buah Loji Rawatan Air Kecemasan telah beroperasi dengan menyediakan kapasiti tambahan sebanyak 91 juta liter sehari.
Katanya, 16 buah loji itu merangkumi Sematan, Lundu, Sungai Serin Serian, Lingga, Maludam 1, Maludam 2 (Beladin), Pusa, Spaoh, Lubau, Lichok, Temadak, Kanowit, Sungai Sadit, Daro, Long Lama, dan Song.
Dengan adanya inisiatif tersebut katanya, kesemua kawasan tersebut telah mendapat bekalan air yang mencukupi setakat ini.
Bagi isu menaik taraf dan penggantian paip lama, Julaihi menegaskan Kerajaan Sarawak sedang giat melaksanakan program naik taraf dan ganti saluran paip lama dan uzur sepanjang 2,740 km melibatkan peruntukan RM1.1 bilion.
Katanya, setakat ini sebanyak 23 buah projek telah berjaya disiapkan manakala 33 buah projek kini dalam pelbagai peringkat pembinaan, diikuti 220 buah projek dalam peringkat prakontrak.
“23 buah projek yang telah siap merangkumi penggantian paip air lama dan uzur sepanjang 52.8 km, manakala 33 buah projek sedang dalam pembinaan merangkumi penggantian paip lama sepanjang 200.7 km.
Sebanyak RM144 juta telah diperuntukkan untuk penggantian paip air lama dan uzur sepanjang 253.5 km,” katanya.

