KUCHING: Gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Batu Kitang mula pulih selepas kerja pembaikan sementara ke atas saluran paip utama pam Mild Steel Cement Lined (MSCL) berdiameter 1050 milimeter di Jalan Haji Baki berjaya disiapkan awal pagi tadi.
Sarawak Water Sdn Bhd berkata, kerja kimpalan paip berkenaan selesai sepenuhnya kira-kira jam 7.30 pagi tadi dan membolehkan proses pemulihan bekalan air dilaksanakan secara berperingkat.
“Tekanan air akan kembali normal secara beransur-ansur apabila sistem dipam semula menggunakan tekanan terkawal bagi menjamin keselamatan dan kestabilan operasi.
“Pun begitu, orang ramai dimaklumkan dalam tempoh pemulihan ini terdapat kemungkinan sesetengah kawasan mengalami air berwarna atau keruh buat sementara waktu susulan gangguan mendapan dalam saluran paip selepas kerja pembaikan dijalankan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi.
Tambahnya Sarawak Water sedang melaksanakan operasi pembilasan secara sistematik dan berperingkat di beberapa lokasi strategik.
“Ini bertujuan menyingkirkan baki mendapan meningkatkan kejernihan air serta menstabilkan kualiti bekalan air secara keseluruhan.
“Oleh itu, penduduk yang berdepan dengan masalah air berwarna disarankan supaya membiarkan air mengalir seketika sehingga kembali jernih,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sarawak Water memberi jaminan perkhidmatan lori tangki air kekal bersiap sedia dan akan digerakkan ke kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan sepanjang tempoh pemulihan ini.
“Kami merakamkan penghargaan atas kesabaran, kerjasama dan kefahaman orang ramai sepanjang kerja-kerja penting ini dijalankan demi memastikan kebolehpercayaan sistem bekalan air terus terpelihara,” tambahnya.

