KUCHING: Bekalan barangan keperluan di Sarawak kekal stabil walaupun musim monsun sedang melanda, dengan tiada sebarang laporan kekurangan setakat ini di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata bekalan hasil pertanian dan ternakan ayam masih mencukupi, disokong oleh pemborong khusus yang beroperasi di seluruh negeri.
“Setakat ini, bekalan masih stabil. Kita mempunyai pemborong khusus bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan sehingga hari ini, tiada laporan kekurangan diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melaksanakan sesi tinjauan SHMMP Krismas 2025 di Pasar Raya Emart Batu Kawa, di sini, hari ini.
Beliau menambah, rantaian bekalan di Sarawak kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran musim monsun, dengan pemantauan berterusan dilaksanakan oleh KPDN Sarawak bagi memastikan pengagihan barangan berjalan lancar.

Menurutnya, KPDN Sarawak telah menggerakkan seramai 207 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh Sarawak bagi memantau ketersediaan bekalan dan pematuhan harga melalui pemeriksaan di semua premis perniagaan seperti pasar raya, pasar awam, pasar tani dan kedai runcit.
“Pemeriksaan dijalankan bagi memantau pematuhan serta menyiasat aduan pengguna supaya sebarang ketidakpatuhan oleh peniaga boleh diambil tindakan mengikut perundangan yang ditetapkan,” tambahnya.
Tegasnya, KPDN Sarawak akan terus mempertingkatkan keberadaan pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di lokasi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika.
Mengulas mengenai penguatkuasaan, Matthew berkata KPDN Sarawak telah mempergiatkan pemeriksaan di seluruh negeri bagi membanteras manipulasi harga dan aktiviti pencatutan, khususnya sepanjang musim perayaan.
Sehingga 19 Disember 2025, beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak telah memeriksa 125,296 premis perniagaan, dengan 399 kes direkodkan di bawah pelbagai akta yang dikuatkuasakan oleh kementerian itu.
“Operasi ini membawa kepada rampasan bernilai RM16.45 juta, manakala kompaun berjumlah RM826,550 berjaya dikutip,” katanya.
Beliau turut menekankan pelaksanaan OPS KESAN 4.0 yang memfokuskan pemantauan pematuhan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Dari 1 Julai hingga 19 Disember tahun ini, kami telah memeriksa 175 premis melibatkan 651 jenis barangan atau SKU dan membuka 11 kertas siasatan di bawah akta berkenaan,” ujarnya.
Matthew menegaskan KPDN Sarawak akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan dan pemantauan sepanjang musim Krismas bagi memastikan pengguna dilindungi serta bekalan barangan keperluan kekal mencukupi pada harga terkawal.




