KUCHING: Manfaat yang diterima rakyat perlu menjadi ukuran utama keberkesanan Belanjawan 2027 dalam merapatkan jurang pembangunan Sarawak, khususnya kawasan pedalaman dan bukan semata-mata berdasarkan jumlah projek yang diluluskan.
Penganalisis Sosiologi Politik, Profesor Dr. Novel Lyndon berkata, kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan internet merupakan ukuran paling langsung kerana ia menentukan akses penduduk kepada pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi.
Keberkesanan projek perlu dinilai berdasarkan pengalaman sebenar pengguna, termasuk kesinambungan bekalan air, pengurangan masa perjalanan dan kos pengangkutan serta kestabilan dan kemampuan akses internet, katanya ketika dihubungi Suara Sarawak bagi mengulas jangkaan terhadap Belanjawan 2027, hari ini.
Peruntukan pendidikan dan kesihatan juga perlu mengambil kira kos operasi kerana pembinaan sekolah atau klinik baharu sahaja tidak menjamin peningkatan kesejahteraan tanpa guru, petugas, bahan pembelajaran, ubat-ubatan dan penyelenggaraan mencukupi.
Agihan peruntukan perlu mengambil kira keluasan Sarawak, penempatan penduduk yang berselerak serta kos logistik tinggi supaya kemudahan yang disediakan benar-benar dapat diakses penduduk.
Novel berkata, peruntukan RM1.5 bilion yang menjadi sebahagian daripada rundingan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak memerlukan mekanisme penyaluran yang jelas dan telus bagi memberikan kepastian dalam perancangan pembangunan negeri.
Beliau berkata, kesan jangka panjang Belanjawan 2027 turut bergantung kepada sejauh mana pelaburan infrastruktur digabungkan dengan pembangunan bakat dan pengukuhan perusahaan tempatan, termasuk menerusi latihan kemahiran, penyelidikan dan keperluan industri.
“Insentif pelaburan wajar dikaitkan dengan hasil yang boleh diukur seperti pewujudan pekerjaan berkemahiran, peningkatan gaji, latihan pekerja tempatan, pemindahan teknologi dan pembelian daripada pembekal Sarawak.
“Ukuran kemajuan Sarawak ialah sejauh mana rakyat dan perusahaan tempatan memperoleh pendapatan, kemahiran, pemilikan dan peluang daripada pertumbuhan tersebut,” katanya.
Novel berkata, bagi sektor tenaga bersih dan ekonomi digital, pembiayaan perlu mengutamakan projek yang mempunyai permintaan pasaran, daya maju komersial dan manfaat sosial yang jelas, selain mengambil kira keperluan bekalan air, tenaga serta kepentingan komuniti setempat.


