KUCHING: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberikan bantuan khidmat khas bagi memindahkan seorang jurufoto media yang menghidap penyakit kronik ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut, hari ini.
Pesakit, Razali Nordin, 54, yang berasal dari Batu Gajah, Perak dilaporkan mengalami beberapa komplikasi kesihatan termasuk masalah jantung.
Beliau yang telah berkhidmat lebih 20 tahun bersama agensi berita BERNAMA Biro Sarawak berada dalam keadaan lemah sehingga memerlukan bantuan logistik khas untuk dibawa ke hospital.
Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) melalui Timbalan Presidennya, Zulazhar Sheblee sebelum itu memohon bantuan pihak bomba bagi memudahkan urusan pemindahan berkenaan.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi untuk membawa beliau menggunakan ambulans Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke HUS.
Dalam pada itu, KDJA menzahirkan penghargaan kepada pihak JBPM atas kerjasama dan bantuan segera bagi memastikan Razali mendapat akses rawatan yang sewajarnya.

