DARO: Seekor buaya dianggarkan dua kali ganda saiz tubuh manusia menyambar dan menyeret seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ke dalam sungai ketika mangsa sedang menjala ikan bersama rakan-rakannya, dalam kejadian tragis sekitar jam 2 petang semalam.
Rakan mangsa, Andy Kuan Jing, 24, berkata kejadian berlaku ketika mereka berlima turun ke sungai sekitar jam 1.30 petang untuk menjala ikan dan mengutip tekuyung (siput), seperti kebiasaan mereka pada waktu cuti.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa sudah selesai bermain gelongsor sebelum duduk di dalam air sambil memerhati rakan-rakan menjala ikan, sebelum tiba-tiba disambar buaya berkenaan.
“Buaya itu memang besar, sangat besar. Anggaran saya dua kali ganda badan manusia. Ia terus menyambar bahagian dada dan rusuk mangsa dengan pantas,” katanya ketika ditemui wartawan hari ini.
Andy berkata buaya berkenaan tidak memberi peluang langsung apabila terus menyeret mangsa masuk ke dalam sungai, menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mangsa.
“Kami cuba perhatikan selama empat atau lima minit, berharap ada tangan mangsa timbul meminta tolong atau sebarang tanda, namun tiada langsung,” katanya.
Menurutnya lagi, kawasan berkenaan sering mereka kunjungi sebelum ini dan tidak pernah melihat buaya bersaiz besar, sebaliknya hanya anak buaya.
“Itu kali pertama kami nampak buaya sebesar itu. Sebelum ini kalau ada pun, yang kecil sahaja,” katanya.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat yang sering menjalankan aktiviti menangkap ikan di sungai berkenaan, selain mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap ancaman buaya, khususnya di kawasan sungai yang dikenal pasti berisiko.



