SETELAH beberapa tahun bekerja, pasti ada yang bertukar kerjaya, sekurang-kurangnya sekali, atau setidak-tidaknya terfikir untuk menceburi kerjaya lain.
Malah ada yang sudah tiga kali dalam tempoh 10 tahun.
Namun ramai yang setia, kekal dengan satu kerjaya sehingga pencen, atas alasan tertentu.
Antaranya, gaji bagus, selesa dengan suasana pejabat dan ramai rakan sekerja yang baik hati.
Namun ramai juga yang setia kerana tiada pilihan, demi sesuap nasi.
Kalau berhenti, nak kerja apa?
Di mana?
Mahu tidak mahu terus kekal walaupun sudah agak tawar hati, dengan persekitaran pejabat yang kurang menyeronokkan.
Gaji tidak naik-naik, dan gosip sana sini.
Yang pasti, pekerja sektor awam jarang bertukar kerja, berbanding pekerja sektor swasta.
Seorang rakan yang telah pun empat kali bertukar kerja dalam tempoh 15 tahun, menjelaskan bahawa, cabaran baharu, di samping tawaran gaji yang menarik, sebagai faktor pendorong.
“Saya gemar cabaran kerjaya dan tawaran gaji yang bagus… inilah peluang saya mengembangkan bakat,” ujarnya.
“Memang sedih meninggalkan rakan-rakan sekerja yang baik di pejabat lama, apakan daya, atas faktor usia, mungkin peluang tidak akan datang lagi, jika saya menolak,” katanya.
“Bagi saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri di pejabat baharu… kita sudah menerima tawaran, bermakna kita bersedia mengikut keperluan atau sistem organisasi baharu,” ujarnya lagi.
Tawaran gaji yang menarik antara faktor utama untuk meninggalkan kerjaya lama, terutama yang mempunyai ramai ahli keluarga.
Bagi yang jenis suka menyendiri di pejabat, tidak sukar untuk membuat pilihan, namun bagi yang ada ramai rakan di pejabat, mungkin agak sukar.
Bagi golongan ini, walaupun gaji agak kecil, tetapi suasana pejabat yang kondusif, dan menyeronokkan menjadi keutamaan.
Ia kerana sebahagian daripada rutin kehidupan kita adalah di pejabat, dengan purata sekitar enam hingga tujuh jam sehari, tolak masa minum, makan tengah hari atau mengambil anak di sekolah.
Malah ada yang sehari suntuk di pejabat, bermula seawal jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam.
Bayangkan jika anda sering tertekan dalam tempoh tersebut, kerana suasana pejabat yang kurang memuaskan.
Hakikatnya, pekerja juga harus bijak menyesuaikan diri dalam keadaan ini, elakkan terlibat dengan cerita-cerita yang tidak berfaedah.
Ia adalah lumrah di pejabat.
Sangat sukar untuk kita mendapat pejabat yang ‘sempurna’ yakni bebas daripada sebarang unsur yang tidak menyenangkan.
Bagi yang lebih banyak bekerja di luar, tanpa terikat di dalam pejabat, terutama kerjaya wartawan, ia adalah satu kelebihan.
Bebas bergerak, ke sana sini, asalkan menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan betul.
Ada dua jenis tukar kerjaya.
Pertama menceburi kerjaya baharu, yang sangat berbeza dengan kerjaya lama.
Misalnya, dulu bekerja sebagai pegawai bank, tetapi kini sebagai pegawai perhubungan awam di sektor korporat.
Kedua, tukar kerjaya, tetapi skop kerja yang hampir sama.
Misalnya dulu bekerja sebagai wartawan akhbar, tetapi kini sebagai wartawan penyiaran di stesen televisyen.
Kebiasaannya, mereka yang berpengalaman, sentiasa teruja mengejar sesuatu yang baharu, di samping tawaran gaji lumayan.
Oleh itu, ada yang masih bekerja selepas bersara.
Walaupun usia sudah mencecah enam siri, mereka masih ghairah untuk berkhidmat, di samping faktor kesihatan yang mengizinkan.
Yang pasti, pengalaman golongan ini amat diperlukan, bagi menaikkan lagi imej organisasi.
Bekas guru saya pernah berkata, bahawa nikmatilah waktu bekerja anda sebelum anda bersara.
“Saya tidak boleh duduk diam, boleh sakit-sakit badan… dulu sebelum pencen, bukan main lagi seronok nak berhenti kerja.
“Tetapi baru tiga bulan pencen, saya rasa ada yang tak kena… mesti bekerja, walau apa-apa pun pekerjaan.
“Alhamduliilah, saya kembali seronok walaupun hanya bekerja sebagai penjual kuih.
Ada masa untuk saya isi, dan ada juga pendapatan sampingan.
Sekarang saya tidak bosan lagi,” katanya.
Yang pasti, walau apa pun pekerjaan anda, hargailah ia.
Berapa gaji… soal kedua.
Bekerjalah dengan penuh kesungguhan dan kejujuran, kerana mempunyai pekerjaan adalah satu anugerah atau rezeki yang sangat berharga.
Masih ramai di luar sana yang tidak mempunyai pekerjaan.
Ada yang dibuang kerja, ada yang terpaksa berhenti kerja atas alasan pengurangan staf atau organisasi ‘tutup kedai’.
Malah ada yang telah pun beberapa kali memohon pekerjaan, tetapi gagal.
Isnin lalu seramai 413,372 calon menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di seluruh negara melibatkan pusat-pusat peperiksaan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), institusi agama, sekolah swasta serta calon persendirian.
Bagi remaja berusia 17 tahun, inilah peluang terbaik untuk merintis laluan ke peringkat seterusnya.
Berjaya dalam SPM, bermakna, ada peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Berjaya dalam pelajaran, bermakna berpotensi untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.
Di Sarawak sekarang ini kita cukup beruntung, kerana Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan.
Isnin lalu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2026 pada Persidangan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 mengumumkan, bahawa sebanyak RM250 juta diperuntukkan tahun hadapan bagi melaksanakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), meliputi 64 program ijazah sarjana muda di universiti milik Kerajaan Sarawak.
FTES bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran masa depan.
Ia dirangka bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi berasaskan merit dan keupayaan tanpa dibatasi kekangan kewangan.
Malah usaha memperkukuh sektor pendidikan awal kanak-kanak diteruskan dengan peruntukan RM22 juta kepada SeDidik bagi memenuhi keperluan operasi dan pembangunan institusi itu.
Malah sebanyak RM96.2 juta diperuntukkan bagi memperkukuh sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.
Ia merangkumi kos operasi institusi TVET utama di negeri ini, termasuk Sarawak Skills, Kolej Universiti i-CATS, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) serta Kolej Laila Taib.
Di samping itu, penjawat awam Sarawak akan menerima kenaikan gaji tujuh peratus mulai Januari 2026, selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) di peringkat Persekutuan.
Ia melibatkan peruntukan RM56 juta, selepas negeri ini melaksanakan kenaikan pertama lapan peratus awal tahun ini yang membabitkan kos RM67 juta.
Ia bertujuan meringankan tekanan kewangan pegawai dan membantu mereka menangani kenaikan kos sara hidup.
Justeru perkhidmatan awam Sarawak mesti dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan dan pemikiran yang tepat bagi menyampaikan perkhidmatan awam berkualiti serta melaksanakan agenda pembangunan kerajaan secara berkesan. Dengan kenaikan ini, maka tiada alasan untuk bertukar kerjaya.
Malah ia sebagai suntikan semangat untuk meningkatkan lagi mutu pekerjaan di pelbagai peringkat.

