Bunuh diri bukan kerana undian netizen – Polis

KUCHING: Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan semalam menafikan remaja perempuan yang maut setelah terjun dari apartmen di Bandar Baru Batu Kawah di sini pada Selasa disebabkan undian netizen.

“Undian bukan faktor yang mendorong mangsa membunuh diri.

“Sebaliknya kita percaya mangsa me-ngalami tekanan perasaan melampau dan mempunyai masalah keluarga,” katanya ringkas.

Terdahulu Aidil memberitahu, tindakan mangsa membunuh diri dipercayai kerana kecewa dengan bapa tirinya yang bekerja di Singapura dan jarang pulang ke Kuching selepas berkahwin dengan wanita warga Vietnam.

Beliau berkata demikian ketika diminta oleh Suara Sarawak mengulas insiden yang menggemparkan itu.

Mangsa yang berusia 16 tahun dikatakan membuat satu undian dalam instagramnya yang dimuat naik pada jam 3 petang dengan status “Really Important, Help Me Choose D/L” apabila membawa maksud D (mati) dan L (hidup).

Sebanyak 69 peratus rakan Instagram mangsa memilih D manakala 31 peratus lagi memilih L.

Selain itu, mangsa juga memuat naik status di Facebook “Wanna Quit Life I’m Tired”.

Menurut Aidil, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Tiada unsur jenayah dikesan di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

Suara Sarawak