Cubaan curi emas gagal
KUCHING: Seorang lelaki bersenjatakan pisau cuba melarikan seutas rantai tangan emas berjaya dicekup oleh orang awam di sebuah kedai emas Fui Chong Goldsmith, Kota Sentosa, disini, hari ini.
 
Kejadian berlaku setelah suspek bersama seorang lagi rakannya dilihat datang ke lokasi dengan menunggang sebuah motosikal sekitar jam 2.30 petang.
 
Difahamkan, suspek pada mulanya berpura-pura bertanya dan cuba memakai rantai berkenaan di pergelangan tangan sebelum bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal yang ditunggang oleh rakannya.
 
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil ketika dihubungi mengesahkan suspek bagaimanapun gagal melarikan diri akibat motosikal yang dinaikinya terjatuh sebelum ditangkap oleh orang awam yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian.
 
Dedahnya, suspek merupakan warga tempatan berusia 43 tahun manakala rakannya disyaki turut terlibat dalam insiden rompakan itu kini masih diburu berikutan berjaya melarikan diri daripada pihak awam.
 
“Hasil siasatan mendapati suspek telah pergi ke kedai emas bersama seorang rakan.
 
“Suspek telah masuk ke dalam kedai dipercayai cuba mencuri rantai emas manakala rakannya menunggu di motosikal.
 
“Semasa melarikan diri motosikal yang dinaiki kedua-duanya terjatuh menyebabkan suspek berjaya diberkas namun penunggang motosikal berjaya melarikan diri,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Tambahnya, sebelum dicekup, suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menyebabkan seorang rakan pemilik premis mengalami kecederaan kecil di bahagian betis kiri.
 
Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes berupa sebilah pisau dan seutas rantai tangan emas telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Padawan untuk tindakan lanjut.
 
Dedah Aidil lagi, suspek mengaku melakukan kejadian dengan niat hendak mencuri emas di dalam kedai tersebut.
 
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak