Curi dan jual emas milik keluarga

KUCHING: Seorang pemuda Cina mengaku menjual barang dicuri milik bapanya sendiri dikenakan denda RM4,000 ataupun enam bulan penjara semalam.

Majistret Chai Guan Hock mengenakan hukuman berkenaan terhadap Daniel Voon Tze Shiang, 22 setelah tertuduh mengaku menjual beberapa perhiasan emas dicuri daripada rumah keluarganya di Taman Sasa, Jalan Bayang di sini mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Menurut fakta kes dibaca pegawai pendakwa Inspektor Muzaffar Shah, pengadu iaitu bapa tertuduh dikenali sebagai Voon, 52 membuat laporan polis pada 3 Mei lalu.

Bapa tertuduh melaporkan ketika pulang dari kerja pada jam 6 petang, dia mendapati tingkap bilik tidur rumah dikopek dari luar dan mendapati beberapa perhiasan emas, sebuah tong gas dan sebuah enjin rumput telah hilang.

Pengadu percaya bahawa kejadian berkenaan ada kaitan dengan anak bujangnya yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Susulan daripada laporan polis itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen menjalankan Operasi Pintu berjaya menangkap suspek di pasar Sungai Maong Lama di Batu Tiga pada jam 4 petang 8 Mei lalu.

Pada 11 Mei kira-kira jam 2 petang suspek membawa pasukan polis ke sebuah kedai emas di Jalan Penrissen dekat Kota Sentosa dan berjaya merampas seutas rantai emas, dan sepasang anting-anting emas.

Pada hari sama pada jam 3.30 petang, polis ditemani suspek berjaya merampas sebuah tong gas di sebuah premis di Jalan Kong Phin di sini.

Dalam rayuannya tertuduh meminta hukuman lebih ringan kerana ini kesalahan pertamanya tetapi bapa tertuduh mendakwa, anaknya pernah mencuri sebelum ini.