ARTIKEL

KENANGAN... Datuk Ismawi Ismuni (enam dari kanan) merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat lain pada Majlis Hi-Tea Penghargaan Lembaga Pengarah AZAM Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Datuk Ismawi Ismuni dilantik pengerusi baharu AZAM Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak membuka lembaran baharu dengan meraikan legasi kepimpinan terdahulu, selain menyambut pengerusi baharu bagi meneruskan peranan organisasi tersebut sebagai wadah komunikasi dan pembangunan masyarakat.

Peralihan itu diraikan menerusi Majlis Hi-Tea Penghargaan Lembaga Pengarah AZAM Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini, bertemakan “Honouring a Legacy, Embracing a New Chapter”.

Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap sumbangan barisan kepimpinan terdahulu, malah turut menyaksikan pelantikan rasmi Datuk Ismawi Ismuni sebagai pengerusi baharu AZAM Sarawak.

Beliau mengambil alih peranan tersebut selepas tamat tempoh perkhidmatan Datuk William Patrick Nyigor yang menerajui organisasi berkenaan sebelum ini.

Pengerusi baharu AZAM, Datuk Ismawi berkata, pelantikan tersebut merupakan amanah besar bagi memastikan organisasi itu terus relevan dan berkembang seiring dengan perubahan semasa.

Menurut beliau, hubungan beliau dengan AZAM bukanlah perkara baharu kerana pernah menyandang beberapa jawatan dalam organisasi tersebut termasuk Ahli Lembaga Pengarah, Bendahari Kehormat dan Timbalan Pengerusi sebelum ini.

“Bagi saya, ini bukan sekadar satu pelantikan. Ini adalah satu amanah untuk memastikan AZAM terus berkembang, kekal relevan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Dalam merangka hala tuju baharu organisasi, beliau berkata, pendekatan kepimpinan transformasi akan diberi penekanan, selain mengambil kira pandangan warga kerja serta pihak berkepentingan.

“Komunikasi kekal menjadi elemen penting untuk memastikan AZAM bergerak seiring perubahan. Cuma seni komunikasi berubah, begitu juga alat dan kaedahnya, jadi kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan AZAM bergantung pada kekuatan kerja berpasukan antara lembaga pengarah, pihak pengurusan dan seluruh warga organisasi dalam memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, perubahan kepimpinan tersebut bukan sekadar pertukaran jawatan, sebaliknya merupakan kesinambungan kepada nilai, budaya dan legasi yang telah dibina.

Menurut beliau, kepimpinan Datuk William telah memberikan ruang kepada AZAM untuk berkembang menerusi pendekatan yang menekankan kepercayaan, inovasi serta pengukuhan organisasi.

“Kepimpinan bukan dibina oleh seorang individu sahaja, tetapi hasil usaha bersama barisan pemimpin yang mencurahkan idea, pengalaman dan komitmen bagi memastikan organisasi terus berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Ali berkata, antara legasi penting yang ditinggalkan ialah budaya mempercayai keupayaan warga organisasi, selain memberikan ruang kepada pemimpin baharu untuk mengembangkan bakat dan memikul tanggungjawab.

“Pemimpin yang hebat bukan sahaja memimpin organisasi, tetapi mampu mengenal pasti potensi dalam diri orang lain, membangunkan bakat dan memberi peluang kepada mereka untuk berkembang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU