KUCHING: Susulan laporan media dan reaksi warganet terhadap kenyataannya sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian tampil memberikan penjelasan bagi meredakan kekeliruan berhubung isu bakat Sarawak yang bekerja di luar negara.
Dr. Sim berkata, kenyataannya itu tidak pernah bertujuan untuk mengkritik, apatah lagi merendahkan mana-mana anak Sarawak yang memilih untuk membina kerjaya di peringkat antarabangsa.
“Sarawak sentiasa berbangga dengan kejayaan rakyatnya di luar negara yang telah membuktikan kebolehan, dedikasi dan daya saing di persada global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kenyataan tersebut dibuat dalam konteks menilai tahap pembangunan semasa Sarawak yang kini berada dalam fasa pertumbuhan pesat dan memerlukan pendekatan yang lebih strategik dalam pembangunan bakat.
“Walaupun Sarawak telah melahirkan ramai bakat cemerlang, kita juga perlu memastikan usaha berterusan untuk membangunkan serta mengekalkan bakat bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penghijrahan bakat ke luar negara tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan individu.
“Namun, ia mencerminkan keperluan untuk Sarawak terus memperbaiki kualiti peluang pekerjaan, laluan kerjaya profesional serta persekitaran kehidupan yang lebih kondusif.
“Justeru, cabaran ini perlu ditangani oleh kepimpinan negeri secara jujur dan bertanggungjawab demi memastikan Sarawak kekal berdaya saing serta mampan dalam jangka panjang,” jelasnya.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak sentiasa menekankan kepentingan melibatkan rakyat Sarawak di mana sahaja mereka berada, termasuk yang menetap di luar negara.
“Bahkan sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, termasuk melalui perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN).
“Ini kerana Sarawak kini berada pada fasa transformasi yang kritikal dan kita memerlukan bakat, pengalaman, idea serta komitmen kolektif lebih daripada sebelumnya,” tegasnya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri kekal komited untuk memperkukuh struktur ekonomi serta memperbaiki persekitaran kehidupan rakyat.
“Oleh itu, bakat tempatan digalakkan untuk terus kekal di Sarawak, di samping mengalu-alukan sumbangan rakyat Sarawak di perantauan dalam apa jua bentuk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sarawak akan sentiasa menjadi tanah air kepada semua rakyatnya tanpa mengira di mana mereka berada.
“Sarawak sentiasa menjadi rumah. Setiap pencapaian dan pengalaman anak Sarawak merupakan aset kepada pembangunan negeri,” katanya.



