Dua sahabat baik ditahan, mayat dengan kesan lebam muka dan perut ditemui di kebun durian

SIBU: Mayat seorang lelaki berusia 49 tahun ditemui mati di sebuah kebun durian di Batu 16, Jalan Sibu-Bintulu petang semalam (Sabtu).
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Dimun Langie ditemui pada jam 6.45 petang semalam.
“Mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang di atas tanah pada jarak lebih kurang 500 meter dari tempat motosikal miliknya dijumpai.
“Hasil pemeriksaan mendapati anggota badan mangsa mempunyai kesan lebam di bahagian muka dan perut.
“Pasukan perubatan yang turut berada di lokasi telah mengesahkan mangsa meninggal dunia,” kata Stanley sebentar tadi.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat akan dijalankan oleh Pakar patologi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 18 Januari (esok).
Terdahulu, beliau memberitahu, Balai Polis Sibu Jaya menerima laporan tentang penemuan mayat mangsa.
Stanley menjelaskan sekitar jam 9 malam pada Jumaat, mangsa keluar rumah dengan menaiki motosikal untuk memancing.
Keesokan harinya (Sabtu) sekitar jam 5 petang, ujar beliau, isteri mangsa memaklumkan kepada anak saudaranya untuk mencarinya yang tidak pulang ke rumah.
“Usaha pencarian itu membawa kepada penemuan mayat mangsa di kebun durian berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, jelas Stanley, dua suspek lelaki yang juga sahabat baik mangsa berusia 33 tahun dan 37 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
“Siasatan awal polis, kedua-dua suspek turut mengaku ada pergi mengutip buah durian di kebun berkenaan bersama-sama mangsa.
“Kedua-dua suspek telah direman hari ini (Ahad) untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambah beliau.

Suara Sarawak