LATIHAN industri bukan sekadar satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang pelajar menamatkan pengajian. Sebaliknya, ia merupakan ruang penting untuk mengenali dunia pekerjaan sebenar, menguji keupayaan diri serta memahami bahawa ilmu yang dipelajari di bilik kuliah perlu diterjemahkan dalam situasi sebenar.
Penempatan di organisasi atau industri terpilih memberi peluang kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merasai sendiri suasana bekerja dalam tempoh yang ditetapkan.
Pada ketika inilah teori mula diuji dengan realiti, manakala disiplin, komitmen, ketahanan diri dan sikap turut menjadi ukuran.
Justeru, wajar latihan industri diwajibkan sama ada di peringkat sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda.
Sepanjang menjalani latihan industri, pelajar perlu mengambil kesempatan untuk mempelajari sebanyak mungkin perkara. Jangan hadir hanya untuk memenuhi syarat atau menunggu tempoh latihan berakhir.
Dalam industri media misalnya, peneta pan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada pelatih untuk menghasilkan beberapa berita sehari mungkin kelihatan mencabar pada peringkat awal.
Namun, tuntutan sedemikian sebenarnya membantu pelajar mengurus masa, mencari maklumat, membuat liputan dan menghasilkan berita dalam tempoh yang ditetapkan.
Dunia pekerjaan tidak hanya menilai keputusan peperiksaan atau kelayakan akademik.
Keupayaan berkomunikasi, bekerja dalam pasukan, menerima arahan, mengurus tekanan dan menyelesaikan masalah turut menjadi sebahagian daripada kemahiran yang diperlukan. Perkara sebegini mungkin sukar dipelajari hanya melalui nota atau kuliah di dalam kelas.
Pelajar juga perlu keluar dari zon selesa. Jika diberikan tugas yang belum pernah dilakukan, jangan terlalu cepat mengatakan tidak tahu atau tidak mampu. Tanya dan cuba lakukan. Belajar daripada kesilapan.
Dalam situasi ini, pelatih perlu bersedia menerima teguran. Setiap kesilapan yang dilakukan boleh dijadikan bahan pembelajaran untuk memperbaiki kelemahan.
Contohnya, dalam dunia kewartawanan, ketepatan ejaan nama, jawatan dan fakta bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Saya sendiri melalui fasa latihan industri dalam industri media dan kerja pertama selepas bergraduasi juga sebagai media.
Apabila memasuki alam pekerjaan sebenar, barulah saya menyedari bahawa pengalaman sebagai pelatih hanyalah permulaan. Dunia kewartawanan sebenar jauh berbeza. KPI yang sebelum ini kelihatan sebagai sasaran, akhirnya menjadi sebahagian daripada rutin kerja.
Tugas tidak mengenal masa dan tempat. Bekerja pada hujung minggu atau cuti umum bukan lagi sesuatu yang luar biasa.
Saya pernah bertugas pada malam hari raya di sempadan Sarawak-Indonesia bersama-sama anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).
Ada yang melihat kerja saya sebagai wartawan sebagai pekerjaan menarik dan ‘glamor’. Namun, di sebalik laporan disiarkan, terdapat pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang jarang dilihat oleh masyarakat.
Latihan industri tidak cukup menggambarkan sepenuhnya peranan wartawan. Tetapi sekurang-kurangnya kita boleh belajar asas sebagai pekerja wartawan, teknik membina soalan, cara temu bual dan sebagainya.
Kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri, manfaatkanlah tempoh tersebut sebaik mungkin. Anggap setiap tugasan sebagai latihan, setiap teguran sebagai ilmu dan setiap kesilapan sebagai ruang untuk memperbaiki diri.
Latihan industri mungkin hanya berlangsung untuk beberapa bulan, tetapi pengalaman yang diperoleh boleh menjadi bekalan sepanjang kerjaya.
Jadikan tempoh latihan sebagai peluang membuktikan keupayaan diri.
Lengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri kerja masa kini. Jangan jadikan tempoh tiga atau empat tahun pengajian di IPT sebagai tempoh menunda pengangguran.
Akhirnya, nilai seseorang siswazah bukan hanya pada segulung sijil yang dimiliki, tetapi sejauh manakah ilmu dan kemahiran itu mampu digunakan dalam kehidupan serta pekerjaan. Dunia industri sentiasa berubah dan persaingan semakin mencabar.
Justeru, jadilah siswazah yang berilmu dan berkemahiran. Kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau.



