ARTIKEL

Julaihi ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

Elektrik Lawas disambung terus ke Grid Utama bermula bulan ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penduduk di kawasan Lawas bakal menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dengan penyambungan terus kepada Sistem Grid Utama Sarawak bermula pada 4 Disember ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, perkembangan itu turut menunjukkan daerah tersebut tidak lagi perlu bergantung pada Stesen Janakuasa Diesel (genset) bagi menjana bekalan tenaga elektrik.

“Saya mempunyai berita baik untuk dimaklumkan kepada penduduk Lawas. Mulai 4 Disember ini, Lawas tidak perlu lagi bergantung pada Stesen Janakuasa Diesel (genset).

“Ini kerana sistem bekalan elektrik bagi Daerah Lawas akan disambung terus kepada Sistem Grid Utama Sarawak,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambah Julaihi, talian penghantaran 500kV dari Bunut ke Similajau telah siap pada Ogos lalu sekali gus melengkapkan sistem grid 500kV dari Wilayah Utara (Bunut Miri dan Similajau Bintulu) ke Wilayah Tengah (Mapai Sibu) dan seterusnya ke Wilayah Selatan (Tondong Bau).

Katanya, keseluruhan projek sistem grid 500kV itu menelan kos sebanyak RM3.4 bilion.

“Ketika ini talian penghantaran itu beroperasi pada voltan 275kV dan akan ditingkatkan kepada 500kV apabila Stesen Janakuasa Hidroelektrik Baleh mula beroperasi pada suku keempat 2029.

“Projek talian penghantaran 275kV dari Bunut ke Lawas telah beroperasi sejak minggu ketiga November lalu dan seterusnya ke Sabah akan mula beroperasi pada pertengahan Disember ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata sambungan Limbang ke Sistem Grid Utama Sarawak kini dalam pembinaan pada kadar 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.

Apabila siap kelak katanya projek tersebut merangkumi lima pencawang dan enam talian penghantaran sepanjang 579 kilometer (km) dengan kos RM2.8 bilion sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Lawas dan Limbang secara signifikan.

“Sarawak Energy juga sedang melaksanakan projek talian penghantaran 275kV Kuching Network Reinforcement (KNR) untuk menambah baik sistem penghantaran dan menampung peningkatan permintaan pengguna di bahagian ini.

“275kV KNR Fasa Satu menghubungkan Entingan di Samarahan ke Tanjong Bako yang bermula pada Disember 2023 disasarkan siap pada suku keempat 2027.

“Manakala 275kV KNR Fasa Dua yang menghubungkan Tanjong Bako, Demak Laut, Santubong serta Matang sedang dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan dan dijadualkan siap pada suku pertama 2027,” ujarnya.

Beliau berkata, projek tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak RM2.4 bilion dan pembinaan dijadual bermula pada suku keempat 2028.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU