KUCHING: Bekalan elektrik di tiga buah premis perniagaan dan sebuah rumah kediaman sekitar kawasan ini telah dipotong semalam (18 Okt), kata Asisten Komisioner Ahsmon Bajah.
Menurut Ketua Polis Daerah itu, ia ekoran pelaksanaan pengoperasian pusat judi dalam talian di tempat-tempat berikut.
“Di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, premis yang telah diputuskan bekalan elektrik tidak boleh disambung semula tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Daerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dengan kerjasama SESCO telah mengambil tindakan tersebut bagi mengekang pertambahan kegiatan perjudian di sekitar kawasan ini.
Sementara, operasi bersepadu ini melibatkan seorang pegawai dan tiga anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bersama-sama dua pegawai SESCO.
Operasi dilaksanakan bermula jam 9 pagi sehingga 3 petang, Rabu (18 Okt) lalu.



