KUCHING: Festival Kraf Borneo Sarawak 2026 menyasarkan jualan RM2.4 juta sepanjang penganjurannya dari 23 Oktober hingga 1 November ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sasaran itu disokong pelbagai pengisian yang bakal memeriahkan kawasan Tebingan Sungai Kuching sepanjang hampir dua minggu penganjuran.
“Festival ini bukan sahaja memberi peluang kepada penggiat kraf untuk memasarkan produk mereka, tetapi juga menjadi ruang untuk memperkenalkan hasil kraf kepada pengunjung yang datang ke Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, pada Khamis (1 Oktober).
Abdul Karim berkata, Festival Kraf Borneo Sarawak tahun ini menyediakan 43 khemah yang menghimpunkan penggiat kraf dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
“Penganjuran kali ini membawa tema ‘Ini Kraf Malaysia’ dengan konsep ‘Kraf Identiti Malaysia’, selain menyasarkan kehadiran 125,000 pengunjung.
“Dengan adanya penyertaan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung, kita dapat menghimpunkan pelbagai hasil kraf dan identiti budaya di satu tempat sepanjang festival ini,” katanya.
Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang Festival Kraf Borneo Sarawak termasuk jualan produk kraf, pameran, demonstrasi pembuatan kraf, padanan perniagaan serta pembangunan pengetahuan.
Selain itu, ceramah keusahawanan, aktiviti interaksi bersama pengunjung dan kuiz kraf turut diadakan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan festival.
Kawasan Tebingan Sungai Kuching turut menampilkan pelbagai pengisian lain sepanjang Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026, termasuk Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak, Sarawak Regatta, Pentas Kesenian, Showcase Usahawan Sarawak dan Festival Gendang Melayu Sarawak.
Penganjuran berkenaan berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 November ini dengan pelbagai acara dijadualkan sepanjang tempoh tersebut.



