KOTA SAMARAHAN: Kejohanan Futsal Piala Presiden PBBS 2024 melabuhkan tirainya pada hujung minggu lalu.
Dua kategori, iaitu terbuka dan veteran, dipertandingkan yang menyaksikan penguasaan hebat pasukan pilihan.
Kategori terbuka diungguli pasukan AFF FT yang berjaya menumpaskan KSK Satok B dengan jaringan 2-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar permainan.
Kejayaan itu membolehkan barisan pemain AFF FT membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta piala dan pingat.
Manakala itu, wang tunai RM1,000, piala dan pingat diterima pemain KSK Satok B selaku naib juara.
Sementara itu, pasukan Bumi Tech dan LA Cartel yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Kategori veteran pula diungguli pasukan LT FC yang menang tipis 3-2 ke atas White FT menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua terikat tanpa sebarang jaringan.
Kejayaan itu membolehkan pemain LT FC untuk membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan pingat.
Para pemain White FT menerima wang tunai RM500, piala dan pingat selaku naib juara.
Pasukan SBM FC dan RV-Foss FC yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM300, piala dan pingat selepas sama-sama menduduki tempat ketiga.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden PBBS, Mohd Azri Johari, dan barisan exco lain.
Sebelum itu, majlis penangguhan kejohanan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan merangkap Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan itu menghimpunkan 32 pasukan, dengan 24 pasukan yang berentap dalam kategori terbuka manakala lapan pasukan bersaing dalam kategori veteran.




