KUCHING: Kerajaan Persekutuan meningkatkan pemberian khas Sarawak kepada RM1.5 bilion sebagai langkah interim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat walaupun Sarawak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
“Bagi Sarawak, saya memberitahu Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa kedudukan kewangan Sarawak adalah kukuh.
“Namun, atas semangat perpaduan, persahabatan dan Malaysia, saya mengumumkan malam ini sebanyak RM1.5 bilion untuk pemberian interim kepada Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Anwar berkata, pengumuman tersebut membuktikan bahawa isu yang masih belum diselesaikan boleh ditangani melalui rundingan yang baik dan persefahaman bersama.
“Itulah rahsia persahabatan dan rundingan yang baik.
Tiada masalah yang tidak boleh dibincangkan dan diselesaikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pemberian interim tersebut bertujuan mencerminkan semangat kerjasama sementara rundingan perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diteruskan.

