SEBUT sahaja nama Hafiz Suip atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, pasti ramai yang membayangkan kelunakan dan kemantapan vokal emasnya yang tiada tolok banding.
Anak watan kelahiran Bumi Kenyalang ini bukan sekadar seorang penghibur, malah beliau merupakan satu-satunya penyanyi lelaki dalam sejarah industri muzik tanah air yang berjaya merangkul trofi Vokal Terbaik di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak empat kali.
Bagaimanapun, di sebalik limpahan cahaya glamor dan deretan 23 anugerah yang mewarnai perjalanan kerjayanya, kehidupan bintang berusia 36 tahun ini sarat dengan ujian, air mata dan kebangkitan yang penuh inspirasi.
Dari Sarawak ke puncak impian
Dilahirkan pada 27 Februari 1990 di Kuching, Sarawak, Hafiz merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Bakat besarnya mula terserlah apabila beliau memberanikan diri menghadiri uji bakat pertandingan realiti popular, Akademi Fantasia Musim Ketujuh (AF7), pada awal 2009 sejurus menamatkan persekolahan di SMK St Joseph.
Dengan vokal yang mantap dan personaliti yang merendah diri, Hafiz yang ketika itu baru berusia 19 tahun berjaya menambat hati juri dan pengundi, sekali gus dinobatkan sebagai juara AF7 pada Mei tahun yang sama. Selepas bergelar juara, kerjaya seninya berkembang dengan pantas.
Beliau memperkenalkan single sulung bertajuk Masih Jelas pada konsert akhir yang mendapat sambutan luar biasa di stesen-stesen radio. Walaupun video muzik lagu tersebut terpaksa dirombak semula kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan peminat muda, karya ciptaan Aidit Alfian itu berjaya melangkah ke peringkat akhir AJL ke-24. Eksperimen seni Hafiz tidak terhenti di situ.
Beliau mencatat sejarah sebagai selebriti pertama negara yang meminjamkan suara untuk watak Ben Tennyson dalam telefilem animasi Ben 10: Alien Swarm versi bahasa Melayu di Cartoon Network. Malah, pada Jun 2010, Hafiz membuktikan kebolehan lakonannya dengan menerajui watak Rahman dalam pementasan teater KITA The Musical di Istana Budaya.
Dominasi vokal emas
Nama Hafiz Suip terus melonjak naik dan kukuh dalam kelas tersendiri menerusi rangkaian lagu popular yang mendominasi pentas AJL. Single keduanya, Noktah Cinta, hasil ciptaan Ajai dengan lirik oleh Sheikh Qalam, menjadi batu loncatan terbesar apabila berjaya merangkul tempat ketiga serta trofi Vokal Terbaik pada AJL ke-25 pada Januari 2011.
Kejayaan itu turut diiringi pengiktirafan kerajaan negeri apabila beliau dianugerahkan Anugerah Ikon Belia Sarawak bagi Kategori Kebudayaan dan Kesenian pada Mac 2011.
Kecemerlangan Hafiz di pentas berprestij tersebut diteruskan pada AJL ke-26 menerusi lagu Awan Nano ciptaan Datuk M. Nasir dengan lirik oleh Buddhi Hekayat. Lagu tersebut bukan sahaja dinobatkan sebagai Juara Lagu, malah turut mempertahankan trofi Vokal Terbaik miliknya.
Pada AJL ke-27 pula, beliau mempertaruhkan dua lagu, iaitu Ku Akui yang meraih tempat ketiga serta mengekalkan trofi Vokal Terbaik untuk tahun ketiga berturut-turut dan Ombak Rindu, gandingan bersama-sama Adira, yang berjaya melangkah ke peringkat akhir.
Rentak kemenangan Hafiz tidak terhenti di situ apabila beliau sekali lagi menjulang trofi utama sebagai Juara Lagu pada AJL ke-28 menerusi karya melankolik Bahagiamu Deritaku ciptaan LY dan Baiduri. Pada tahun berikutnya di AJL ke-29, beliau kembali beraksi sebagai finalis menerusi lagu Matahari.
Selepas itu, pada AJL ke-31, kolaborasi beliau bersamasama Dayang Nurfaizah menerusi lagu Terimaku Seadanya ciptaan Ajai berjaya melayakkannya muncul sebagai naib juara. Selepas beberapa tahun, Hafiz kembali menggegarkan pentas AJL ke-34 menerusi lagu Kisah Cinta Kita, hasil ciptaan Ikhwan Fattana dan Ayden Ali dengan lirik oleh Datuk A. Aida.
Menerusi lagu tersebut, beliau bukan sahaja memenangi kategori Persembahan Terbaik, malah berjaya membawa pulang trofi Vokal Terbaik buat kali keempat, sekali gus melakar sejarah sebagai satusatunya penyanyi lelaki yang memiliki rekod tersebut.
Di samping itu, kematangan seni Hafiz terus terserlah apabila beliau melangkah ke pentas akhir AJL ke-39 menerusi Terus Bersinar ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito.
Dugaan berliku, bahagia menjelma kembali
Bagaimanapun, kehidupan sebagai anak seni tidak selamanya menjanjikan kebahagiaan yang berpanjangan. Di sebalik kerjaya yang gemilang, Hafiz turut diuji dengan pelbagai badai dalam kehidupan peribadinya.
Mahligai rumah tangga yang dibina bersama-sama Nureffy Jesreel Abdullah pada 14 Mei 2016, yang diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Muhammad Riyadh Zafri dan Muhammad Alkaf, akhirnya menemui titik noktah apabila mereka disahkan bercerai pada 2025.
Dugaan hidupnya bertambah berat apabila beliau kehilangan insan paling bermakna dalam hidupnya, iaitu ibunya yang tercinta. Pemergian ibunya meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupannya. Rentetan peristiwa duka yang datang berturut-turut ini pernah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat terhadap semangat penyanyi pujaan mereka itu.
Pernah gagal dalam kehidupan rumah tangga dan berdepan kehilangan ibu tercinta, namun Hafiz enggan membiarkan dirinya terus tenggelam dalam kesedihan. Sebaliknya, beliau memilih untuk bangkit demi anak-anak dan meneruskan perjuangan dalam dunia seni. Ujian yang dilalui nyata mematangkan anak jati Kuching ini.
Selepas melalui fasa kedukaan, hadir pula lembaran baharu yang membawa sinar kebahagiaan. Hafiz membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila kembali bergelar suami setelah mengikat tali pernikahan dengan pilihan hatinya, Fiona Saffiyya, pada 13 Februari lalu. Kehadiran Fiona menjadi pelengkap serta pemangkin semangat buat Hafiz untuk terus melangkah ke hadapan.
Terus bersinar dan tetap relevan Kini pada usia 36 tahun, dengan fasa kehidupan yang lebih stabil dan matang, Hafiz membuktikan bahawa bakat sejati tidak mudah pudar ditelan zaman.
Kemunculan Terus Bersinar di pentas AJL ke-39 bukan sekadar mempertandingkan sebuah lagu, malah menjadi simbolik kepada perjalanan hidupnya yang tidak pernah hilang daripada radar seni tanah air.
Daripada seorang remaja biasa dari Kuching yang menyimpan impian besar di pentas Akademi Fantasia, Hafiz mengukir namanya sebagai antara bintang paling bersinar dalam sejarah muzik Malaysia.
Segala badai dan cabaran yang dilalui dijadikan azimat untuk terus melangkah, membuktikan bahawa seorang pejuang seni sejati akan sentiasa bangkit dan terus bersinar demi keluarga, bangsa dan negara.



