KOTA SAMARAHAN: Kemenangan tanpa bertanding Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang menerima ucapan tahniah daripada bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Idris Buang dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Idris yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang menyifatkan kemenangan itu sebagai manifestasi penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, kemenangan tanpa bertanding GPS di 29 daripada 82 kerusi pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 mencerminkan perkembangan positif buat gabungan itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangan Dr Dayang Nurfizawati yang diumumkan pada hari penamaan calon, hari ini.
Sementara itu, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berharap Dr Dayang Nurfizawati dapat memikul amanah sebagai wakil rakyat dengan penuh dedikasi, selain meneruskan usaha pembangunan dan menjaga kebajikan penduduk Muara Tuang.

Kemenangan itu bukan sekadar kejayaan dalam pilihan raya, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab besar untuk membawa kawasan berkenaan ke tahap lebih baik.
Terdahulu, Rubiah bersama barisan kepimpinan GPS dan jentera parti mengiringi Dr Dayang Nurfizawati ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Kota Samarahan.
Perarakan dari pekarangan Masjid At-Taqwa Muara Tuang bermula seawal 6 pagi itu disertai kira-kira 1,500 anggota jentera dan penyokong GPS.
Mereka mula berarak pada 8.30 pagi dengan mengibarkan panji-panji GPS serta melaungkan kata-kata semangat sebagai tanda sokongan kepada calon gabungan itu.
Majlis meraikan kemenangan tanpa bertanding Dr Dayang Nurfizawati turut diserikan dengan bacaan doa kesyukuran yang dipimpin Idris.

