KUCHING: Indeks Kesejahteraan Sosial Sarawak (SSWI) 2023 berada pada tahap sederhana dengan skor komposit 64.1 atau 76.8 peratus, iaitu peningkatan positif keseluruhan berbanding pencapaian pada tahun 2019.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata peningkatan ini sebahagian besarnya disumbang oleh pelbagai inisiatif dan program kerajaan yang dilaksanakan selepas 2019.
“Saya gembira dengan keputusan kajian yang bermula pada 21 Ogos 2023 dan tamat pada 31 Mei ini, kita mendapati bahawa terdapat peningkatan berbanding dengan 2019.
“Kajian yang dilaksanakan setiap dua tahun ini penting dalam membantu kerajaan melakukan transformasi sosial, penambahbaikan dan kemajuan supaya rakyat mendapat manfaat dan menikmati kualiti kehidupan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di sini, hari ini.
Tambahnya, kajian konsortium penyelidikan itu dijalankan oleh Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Inovasi Swinburne Malaysia merentasi pelbagai dimensi masyarakat melibatkan seramai 18,640 responden (9,488 lelaki dan 9,152 perempuan) yang dipilih melalui persampelan rawak berstrata.
“Kajian ini menggunakan reka bentuk penyelidikan kuantitatif serta tinjauan piawai bagi mengumpulkan data daripada demografi yang luas di Sarawak dengan objektif untuk mengukur tahap kesejahteraan sosial di seluruh negeri, termasuk peringkat bahagian dan daerah.
“Selain itu, untuk mengenal pasti dan analisis domain sosial yang mempengaruhi kesejahteraan ketara dengan tumpuan khusus berkaitan senario pandemik pasca COVID-19 dan kesannya,” ujarnya.
Katanya lagi, pendekatan kajian berkenaan bagi memastikan pengagihan yang representatif merentas kumpulan umur, jantina dan etnik berbeza untuk membolehkan penemuan menyeluruh.
“Penilaian ini merangkumi pelbagai dimensi kebajikan sosial yang dicerminkan dalam markah tonggak berbeza.
“Kajian kesejahteraan untuk keluarga menunjukkan pemarkahan pada 7.68 (76.8 peratus) iaitu pada tahap sederhana, yang membuktikan sokongan keluarga dan rangkaian yang kuat dalam komuniti.
“Wilayah selatan negeri ini mendahului dengan skor kesejahteraan tertinggi, iaitu 7.87, diikuti wilayah tengah pada 7.59 dan wilayah utara pada 7.42.
“Manakala markah tanggungjawab sosial yang mencerminkan tahap penglibatan sivik dalam kalangan masyarakat mencapai tahap 74.5 peratus, keharmonian sosial (74.0 peratus), perumahan (73.8 peratus) dan kelestarian alam sekitar (71.8 peratus),” ujarnya.
Dalam pada itu, Fatimah mencadangkan pelan komprehensif untuk meningkatkan kehidupan rakyat dengan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan ketidakseimbangan serantau melalui program yang disasarkan kepada infrastruktur, alam sekitar dan perkhidmatan sosial.
“Pelaburan dalam komuniti luar bandar termasuk pusat komuniti moden, pengangkutan dan akses internet yang lebih baik, sokongan penjagaan kanak-kanak dan program pendidikan serta pembangunan perniagaan yang berkaitan dengan budaya.
“Ia bertujuan memperkasakan wanita dengan latihan kepimpinan, meningkatkan kemampuan perumahan melalui skim berperingkat dan menggalakkan perpaduan sosial melalui hab penglibatan komuniti, program pertukaran budaya dan tumpuan keselamatan awam terhadap pencegahan penyalahgunaan dadah dan pengawasan kejiranan,” tambahnya.

