ARTIKEL

Inkues: Pelajar Senior Akui Marah, Jerit Pada Zara Qairina Sehari Sebelum Insiden

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar mengaku di Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa dia memarahi dan menjerit kepada Zara Qairina Mahathir dengan kata-kata kesat, sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri.


Keterangan itu diberikan oleh saksi kanak-kanak ke-14, yang merupakan ketua bilik di asrama, pada hari ke-23 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.


Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina, berkata saksi berkata dia bertindak demikian kerana Zara Qairina menafikan dakwaan mencuri pin bendera Malaysia kepunyaannya, yang ditemukan di dalam beg milik remaja itu.


“Saksi juga mengesahkan pada malam 15 Julai, Zara Qairina disoal oleh beberapa pelajar senior mengenai kes kecurian dompet, kad ATM, wang tunai dan pin bendera Malaysia kepunyaan saksi.


“Saksi berkata dia cuma bertanya tentang pin bendera kepada Zara Qairina dan bukan mengenai tuduhan kehilangan barang pelajar-pelajar junior lain… kata saksi, Zara Qairina menafikan tuduhan tentang kecurian pin bendera tersebut,” katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.


Shahlan berkata saksi turut memaklumkan bahawa ada pelajar junior meminta izin untuk melakukan pemeriksaan mengejut ke atas lokar serta beg Zara Qairina, sebelum diberitahu mengenai penemuan pin bendera tersebut di dalam beg remaja berkenaan.


“Kata saksi, dia tidak memastikan sama ada pin itu sememangnya dijumpai dalam beg Zara Qairina atau tidak… saksi berkata dia membenarkan pelajar junior melakukan pemeriksaan dan saksi mengesahkan berada di bilik ketika ia dilakukan namun tidak memantau ketika pelajar terbabit membuat pemeriksaan itu,” katanya.
Beliau berkata saksi turut memaklumkan bahawa dia ada menulis sendiri peraturan bilik di bawah jagaannya dan antara peraturan ditetapkan ialah “Jangan memaki walaupun selalu dengar orang lain pun memaki” yang dibuat sebagai peringatan kepada semua penghuni.


Peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada remaja dikaitkan dalam kes Zara Qairina, pula berkata saksi memaklumkan dia tidak memukul Zara Qairina dan tidak melihat sesiapa pun berbuat demikian.


Beliau berkata saksi memaklumkan bahawa pada kira-kira 12.30 tengah malam, dia ada melihat Zara Qairina berjalan keluar dari bilik tetapi tidak tahu ke mana remaja itu pergi.


“Tidak lama selepas itu, semasa saksi mahu keluar dari biliknya untuk ke bilik lain, ada penghuni asrama datang kepada saksi dan memberitahu mereka melihat Zara Qairina berada di dalam tandas aras tiga sedang menangis.


“Kata saksi, dia hanya mendiamkan diri dan meneruskan perjalanan ke bilik itu untuk tidur bersama rakan-rakannya,” kata Goh.


Berkongsi keterangan saksi sama, peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat remaja dalam kes berkenaan, berkata saksi memaklumkan bahawa dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Zara Qairina sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri dan hanya dikejutkan daripada tidur pada kira-kira 4 pagi selepas dipanggil oleh seorang guru.


Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
Prosiding inkues bersambung esok.
— BERNAMA

TAG: Sabah, Mahkamah Koroner, inkues, Zara Qairina Mahathir, pelajar senior, ketua bilik, marah

BERITA LAIN

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road