KUCHING: Pembinaan jalan pintas dari simpang Malihah ke Jalan FAC dicadangkan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di sepanjang Jalan Matang.
ADUN Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak sebagai salah satu langkah penyelesaian jangka panjang bagi melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
“Saya ingin berkongsi perancangan untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Sarawak yang bertujuan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Matang.
“Selain cadangan jalan pintas dari simpang Malihah ke Jalan FAC, saya turut mencadangkan pembinaan jalan baharu dari Malihah terus ke Jalan Kampung Paroh.
“Ia satu lagi laluan alternatif ke Jalan Sungai Maong,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada Lawatan Kerja Pembangunan Infrastruktur di Jalan Matang Baru Fasa Dua hari ini.
Tambah beliau, sekiranya cadangan tersebut diluluskan, ia bakal memberi lebih banyak pilihan laluan kepada pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap Jalan Matang sebagai laluan utama.
“Pun begitu, pelaksanaan projek ini mungkin memerlukan pembinaan jambatan menuju ke Jalan Malihah yang dijangka menambah kos keseluruhan.
“Saya berharap agar Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kepentingan rakyat khususnya penduduk sekitar Matang yang berulang-alik ke pusat bandar,” jelasnya.


