ADA satu hakikat yang sering kita lupa apabila menyebut tentang persaraan.
Kita menganggap persaraan sebagai noktah kepada sebuah kerjaya, sedangkan bagi seorang guru, persaraan hanyalah penamat kepada perkhidmatan rasmi, bukannya penamat kepada sumbangan.
Guru mungkin tidak lagi berdiri di hadapan kelas, namun ilmu yang pernah disampaikan terus hidup dalam diri ribuan anak murid yang pernah dididiknya.
Selagi ilmu itu diamalkan, selagi itulah jasa seorang guru terus mengalir dan disebabkan itu, masyarakat sering mengangkat profesion perguruan sebagai kerjaya yang istimewa.
Tidak semua pekerjaan mampu meninggalkan legasi yang berkekalan merentas generasi seperti yang dilakukan oleh seorang guru.
Hari ini, apabila kita melihat seorang doktor menyelamatkan nyawa, seorang jurutera membina jambatan, seorang hakim menegakkan keadilan atau seorang usahawan mencipta peluang pekerjaan, pasti ada seorang guru yang pernah membimbing mereka suatu ketika dahulu.
Kejayaan seseorang individu bukan sekadar hasil usaha sendiri kerana di sebalik setiap pencapaian, terdapat insan yang pernah mengajar mengenal huruf, mengira nombor, membina keyakinan serta menyemai nilai kehidupan dan itulah guru.
Disebabkan itu, pesara guru tidak seharusnya dilihat sebagai kelompok yang sudah tidak lagi berperanan dalam pembangunan masyarakat.

Sebaliknya, mereka adalah gudang pengalaman yang amat bernilai.
Puluhan tahun mendidik menjadikan mereka memiliki kebijaksanaan yang sukar diperoleh melalui buku atau latihan semata-mata.
Pengalaman mengurus pelajar daripada pelbagai latar belakang membentuk keupayaan mereka memahami manusia dan masyarakat dengan lebih mendalam.
Dalam era yang semakin pantas berubah, pengalaman seperti inilah yang diperlukan.
Teknologi boleh berkembang, tetapi nilai murni tetap perlu dipupuk oleh mereka yang pernah melalui pelbagai zaman pendidikan.
Tidak hairanlah apabila ramai pesara guru masih aktif dalam pelbagai pertubuhan masyarakat, kerana mereka terus menyumbang tanpa mengharapkan ganjaran.
Malah, ramai juga yang menjadi mentor kepada generasi muda.
Nasihat mereka sering menjadi panduan kepada ibu bapa, guru baharu dan pemimpin komuniti dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Namun, perubahan teknologi juga membawa cabaran baharu kepada golongan pesara guru.
Media sosial misalnya membuka ruang yang luas untuk berkongsi pandangan.
Dalam masa yang sama, ia juga boleh menjadi medan penyebaran maklumat yang tidak tepat serta kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham.
Sebagai individu yang dihormati masyarakat, setiap perkongsian oleh seorang bekas guru sering mendapat perhatian kerana kata-kata mereka mempunyai pengaruh dan boleh membentuk persepsi orang ramai.
Justeru, pesanan agar pesara guru sentiasa berhati-hati ketika membuat hantaran di media sosial merupakan satu peringatan yang amat wajar.
Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan isu agama, kaum dan perkara yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Sehubungan itu, pesara guru juga digalakkan meneroka bidang baharu yang memberi manfaat kepada diri dan masyarakat.
Bidang pertanian misalnya semakin mendapat perhatian kerana bukan sahaja mampu menjana pendapatan, malah menjadi aktiviti yang menyihatkan serta produktif.
Ramai pesara kini berjaya mengusahakan tanaman, ternakan dan kebun secara komersial ataupun kecil-kecilan.
Pengalaman mengurus, merancang dan mendidik yang dimiliki ternyata menjadi kelebihan dalam mengembangkan usaha tersebut.
Lebih menarik, aktiviti pertanian turut membuka ruang untuk mereka berkongsi ilmu dengan komuniti setempat, khususnya golongan muda yang ingin menceburi sektor agromakanan.
Ini membuktikan bahawa persaraan bukan bermaksud berhenti berkarya, sebaliknya, ia merupakan peluang untuk mencuba bidang yang mungkin tidak sempat diterokai ketika masih berkhidmat.
Oleh itu, kita harus mengubah cara melihat persaraan seorang guru kerana mereka bukan sekadar bekas pendidik, tetapi pendidik sepanjang hayat.
Selagi ilmu yang ditinggalkan terus diamalkan, selagi itulah jasa mereka hidup dalam setiap kejayaan anak bangsa.



