ARTIKEL

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah

Jawatankuasa Pengurusan Bencana diaktif jika IPU melebihi 150

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat akan diaktifkan sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 selama lebih 24 jam sebagai langkah menghadapi kemungkinan keadaan jerebu semakin meruncing.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon, berkata tindakan itu antara langkah yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang kini diaktifkan susulan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan negara, termasuk Sarawak.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menyelaras pengaktifan jawatankuasa berkenaan bagi memastikan tindak balas agensi kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih pantas dan bersepadu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) juga akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

“JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Langkah ini penting bagi membendung aktiviti pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan jerebu ketika negara berdepan cuaca kering dan jerebu rentas sempadan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan perindustrian bagi mengelakkan pencerobohan atau aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran terbuka.

Mengulas lanjut, beliau berkata PTJK turut menetapkan beberapa tindakan berdasarkan tahap bacaan IPU semasa bagi melindungi kesihatan awam, khususnya golongan yang terdedah kepada risiko pencemaran udara.

“Semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska hendaklah ditutup serta-merta sekiranya bacaan IPU melebihi 200,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah serta premis milik mereka dicerobohi sehingga menyebabkan kebakaran berlaku sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

“Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

“Di bawah akta ini, kadar denda telah dinaikkan kepada minimum RM25,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kompaun sehingga tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya bekerjasama memadamkan kebakaran kecil di kawasan masing-masing dan segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.

Orang ramai juga disaran memantau bacaan IPU semasa menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS, selain mendapatkan maklumat kesihatan berkaitan jerebu melalui portal Kementerian Kesihatan Malaysia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU