KUCHING: Kawasan jelapang padi yang terletak di Batang Lupar di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (Sada) berpotensi untuk dibangunkan pada skala besar.
Justeru, Pengerusi Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, pembangunan infrastruktur jelapang padi di Batang Lupar akan dilaksanakan secara berfasa.
“Ini bagi merealisasikan hasrat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang kompeten dalam pengeluaran hasil padi beras negara.
“Maka, apabila siap dan lengkap semuanya (infrastruktur) kelak, penanaman padi dua musim setahun dapat dilakukan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, dalam ciapan di Facebook selepas mengetuai rombongan Bernas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri. Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Haris Fadzillah Hassan dan pasukan Bernas yang lain.
Jelasnya, perbincangan pada hari tersebut banyak tertumpu kepada jelapang padi di Batang Lupar yang berpotensi untuk dibangunkan dalam skala besar.
Tambahnya, ini memandangkan perancangan diusahakan oleh Bernas selama ini diteruskan. “Perkara yang mengekang usaha ini memerlukan penglibatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak agar berganding bahu untuk membantu merealisasikan visi tersebut,” ujarnya.


