ENGKILILI: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dr. Johnical Rayong Ngipa mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Engkilili tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Pengesahan kemenangan itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ting Tiew Lik selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu, semalam.
Johnical tiba di pusat penamaan calon pada 8.10 pagi sebelum menyertai perarakan bersama kira-kira 3,000 penyokong.
Beliau kemudian memasuki dewan pada 9 pagi untuk menyerahkan borang penamaan calon bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Johnical dicadangkan oleh Tarang Naol, manakala Dato Busang bertindak sebagai penyokong pencalonannya.
Pada PRN Sarawak Ke-12, Johnical yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi kerusi DUN N.33 Engkilili dengan majoriti 1,191 undi.
Beliau menewaskan tiga pencabar lain dalam pertandingan empat penjuru, iaitu Desmond Sateng Sanjan daripada GPS, Gemong Batu daripada Parti Bebas (Kunci) dan Stel Datu daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Johnical sebelum ini merupakan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebelum meninggalkan parti itu dan menyertai PSB untuk bertanding pada PRU Sarawak Ke-12.
Bagaimanapun, beliau kemudian kembali menyertai SUPP sebelum dipilih mewakili GPS bagi mempertahankan kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya kali ini.

