KUCHING: Jumlah mangsa bencana di Sarawak terus menunjukkan peningkatan apabila tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini diaktifkan setakat 1 Januari 2026, jam 3 petang, susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan terjejas.
Menurut laporan terkini Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sarawak, kejadian banjir di Bahagian Kuching menyumbang kepada pembukaan enam PPS melibatkan ratusan Ketua Isi Rumah (KIR) dan mangsa yang terpaksa dipindahkan demi keselamatan.


Antara PPS yang dibuka ialah Dewan Masyarakat Stapok yang menempatkan 55 KIR dengan 203 mangsa, diikuti Dewan R. Piang Kampung Sinar Budi Baru yang mencatat peningkatan kepada 60 KIR dan 325 mangsa.
Selain itu, PPS Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu kini menempatkan 14 KIR melibatkan 63 mangsa, manakala PPS Dewan Surau Nurul Najhin Stapok merekodkan 18 KIR dengan 56 mangsa.
PPS lain yang turut mencatat peningkatan ialah Dewan Serbaguna Taman Malihah dengan 69 KIR dan 265 mangsa, serta PPS Sekolah Kebangsaan Chung Hua Sejijak yang menempatkan 10 KIR melibatkan 33 mangsa.
Sementara itu, di Bahagian Miri, sebuah PPS di Dewan Bulan Sabit Merah dibuka susulan kejadian tanah runtuh, melibatkan satu KIR dengan empat mangsa dan setakat ini kekal tanpa perubahan.
Secara keseluruhan, jumlah terkini mangsa bencana di Sarawak melibatkan 227 KIR dengan 949 mangsa, dengan trend pemindahan mangsa dilaporkan terus meningkat.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan keselamatan dari semasa ke semasa.



